Apa salahnya sudah berumur masuk PLKN?

Program diperkenalkan pada Disember 2003 dan dimansuhkan pada 13 Ogos 2018 itu akan diadakan semula. - FOTO: Dijanakan oleh AI DALL-E3
Program diperkenalkan pada Disember 2003 dan dimansuhkan pada 13 Ogos 2018 itu akan diadakan semula. - FOTO: Dijanakan oleh AI DALL-E3
A
A
A

TOKSIK bermaksud beracun atau bahan seperti asap dan buangan kimia yang menyebabkan pencemaran alam. Itu kalau istilah mengikut buku.

Bagaimanapun dalam soal kehidupan, toksik itu jika dikaitkan dengan manusia merupakan gelaran bagi orang yang memberi implikasi negatif terhadap diri seseorang.

Manusia toksik mampu mencederakan emosi, menjejaskan perkembangan kognitif dan merendahkan maruah, jati diri serta keyakinan diri kita.

Berdasarkan carian di Google, informasi hampir sama dikongsi. Beberapa kelakuan digariskan sebagai ciri-ciri manusia bertoksik.

Anda seorang yang toksik jika suka beri komen sarkastik, menganggap semua benda sebagai pertandingan, menjenakakan segala perkara atau sibuk memperbetulkan orang dan gemar melihat individu lain kesusahan.

Golongan ini juga seronok menyebarkan kelemahan lawan, semuanya mestilah pasal hal dia, suka perlekeh soalan orang lain, berbohong untuk menguatkan hujah serta kuat cemburu dan iri hati.

Banyak lagi sifat-sifat negatif lain yang menjustifikasikan betapa buruk perangai manusia jenis ini. Dalam dunia pekerjaan, ketoksikannya juga tidak kurang hebat.

Negatifnya konotatif ‘toksik’ ini kerana dalam apa jua situasi pun ia berkait dalam kehidupan kita termasuklah wujud dalam kalangan ahli keluarga sendiri.

Artikel Berkaitan:

Penulis suka menyentuh mengenai media sosial yang mana ketoksikannya agak dahsyat juga.

Selain dibanjiri emosi negatif daripada penggunanya, isu sekecil-kecil kuman pun boleh ditularkan sehingga dikecam hebat.

Namun di sebalik toksiknya perlakuan negatif segelintir pengguna media sosial, penulis terhibur dengan reaksi warganet terhadap isu pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0).

Program diperkenalkan pada Disember 2003 dan dimansuhkan pada 13 Ogos 2018 itu akan diadakan semula. Ia buat warga maya ‘menggila’.

Untuk rekod, Mesyuarat Kabinet memutuskan untuk memansuhkan PLKN dan Biro Tatanegara (BTN) serta-merta setelah mendapati kedua-duanya disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu selain melibatkan kos yang besar iaitu sekitar RM700 juta setahun.

Pelbagai pendapat disuarakan warganet mengenai PLKN 3.0, malah imej-imej lucu dan kita boleh relate yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) pantas menjadi tular.

Laju betul mereka buat kerja. Kreatif tidak bertempat namun mencuit hati, buat kita lupa seketika perilaku manusia toksik yang memerlukan detoksifikasi.

Susulan tercetusnya ‘huru-hara’ itu, Kementerian Pertahanan tampil menjelaskan, hanya remaja lahir pada 2007 akan dipanggil menjalani PLKN 3.0 apabila ia dilaksanakan tahun hadapan.

Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga berusia 35 tahun.

Namun, pada pandangan peribadi penulis, apa salahnya jika golongan berumur turut ‘dikerah’ menyertai PLKN. Mungkin golongan ‘mak-mak’ atau ‘ayah-ayah’ ini boleh me time, lari sekejap daripada rutin harian.

Penulis yakin bab disiplin pastinya tidak menjadi masalah, maklumlah mereka yang sudah berkeluarga dan berkerjaya ini memang terbiasa bangun awal pagi.

Kalau bercampur dengan peserta pangkat ‘adik-adik’ nanti bolehlah sedikit sebanyak kongsi pengalaman hidup.

Tiada salahnya jika mereka ini dibugarkan semula dengan motivasi baharu di kem PLKN. Sifat daya tahan dalam kehidupan mereka mungkin sudah rapuh.

Lagipun jangan pandang rendah pada ‘acik-acik’ ini, stamina dan keazaman mereka pasti lebih tinggi.

Jika komitmen dari segi kewangan dan keluarga yang dirisaukan, penulis yakin kerajaan akan melihat secara mendalam untuk memastikan tiada masalah berbangkit pada masa hadapan.

Adakala kita perlu laksana dahulu baru tahu sama ada praktikal atau sebaliknya.

Manalah tahu, menyertai PLKN 3.0 akan membantu membuang sifat toksik dalam diri, maka kuranglah ketoksikan yang boleh membawa mudarat kepada mental dan fizikal manusia. Kehidupan pastinya lebih bahagia dan harmoni, insya-ALLAH.

* Asmaliza Mansor ialah penyunting Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!