'Ancaman komunis serius, bukan main-main'
KUALA LUMPUR - Kerajaan dan rakyat Malaysia perlu sedar bahawa ancaman komunis merupakan perkara yang sangat serius.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata, tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan untuk memastikan ideologi komunisme tidak berkembang di negara ini.
“Kita mahu menyedarkan rakyat dan kerajaan bahawa ancaman komunis bukan main-main kerana mereka sudah lama merancang perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Perhimpunan Pejuang Negara Menentang Kebangkitan Ideologi Komunisme di Padang Merbok di sini semalam.
Menurutnya, tindakan membawa pulang abu mayat Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dilihat usaha mengangkat ideologi komunisme walaupun pertubuhan itu telah diharamkan di negara ini.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Datuk Wong Pui Lam berkata, ideologi komunis tidak boleh dibiarkan di negara ini.
Menurutnya, pelbagai perkara yang berlaku mutakhir ini dipercayai cara halus pihak tertentu untuk menyebarkan fahaman komunis.
“Kita tidak sepatutnya membenarkan PKM menyebarkan ideologinya. Walaupun PKM telah diharamkan tetapi ada anasir-anasir pro komunis yang cuba disebarkan kembali.
"Apa cara sekalipun kerajaan perlu ambil tindakan,” katanya.
Menurutnya, jika ideologi komunisme ini tidak dibendung, dibimbangi akan menggugat Perlembagaan Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!