'Healing' minum kopi ditemani si bulus

Muhammad Syafiq dan Nazatul Faseha ingin lebih ramai menikmati keseronokan bermain bersama kucing.
Muhammad Syafiq dan Nazatul Faseha ingin lebih ramai menikmati keseronokan bermain bersama kucing.
A
A
A

SEREMBAN - Menikmati secawan kopi sambil ditemani sekumpulan kucing comel dan manja pastinya menjadi suasana menyenangkan terutama buat mereka yang sememangnya suka akan haiwan tersebut.

Ia juga boleh menjadi satu terapi bagi mengurangkan tekanan selepas seharian penat bekerja.

Ingin berkongsi perasaan itu telah mendorong pasangan suami isteri Muhammad Shafiq Nasaruddin, 29, dan Nazatul Faseha Mohd Nasir, 29, untuk menjadikan pusat penjagaan kucingnya di Pusat Komersial Rasah Prima di sini sebagai lokasi 'healing' yang diberi nama Kucing dan Kopi.

Menurut Muhammad Shafiq, kedainya yang beroperasi April lalu, pada awalnya hanya menyediakan pusat dandanan dan hotel kucing sebelum diubah suai menjadi kafe.

Muhammad Syafiq (empat dari kiri) dan Nazatul Faseha (kiri) melayan pelanggan yang datang ke kedainya.
Muhammad Syafiq (empat dari kiri) dan Nazatul Faseha (kiri) melayan pelanggan yang datang ke kedainya.

"Sejak dua bulan lalu kami sediakan ruang untuk orang datang bersantai minum kopi sambil bermain dengan kucing di sini.

"Tak sangka sambutannya amat menggalakkan apabila ada yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk memuaskan keinginan bersama kucing di sini," katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, orang ramai tidak perlu risau untuk datang ke situ kerana tiada sebarang bayaran dikenakan dan yang pastinya mereka akan pulang dengan perasaan gembira.

Artikel Berkaitan:

Kata Muhammad Syafiq, terdapat lebih 20 ekor kucing pelbagai jenis baka yang berperanan sebagai 'pelayan' dibiarkan berkeliaran di situ antaranya Persian, British Shorthair, Mancoon, Munchkin dan kucing baka tempatan.

Muhammad Syafiq dan Nazatul Faseha menyediakan lebih 20 ekor kucing untuk 'melayan' pelanggan.
Muhammad Syafiq dan Nazatul Faseha menyediakan lebih 20 ekor kucing untuk 'melayan' pelanggan.

"Saya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM2,000 setiap bulan untuk memastikan kucing-kucing kami kelihatan gebu dan sihat.

"Saya akui kos penjagaan kucing ini sebenarnya agak mahal dan bukan semua orang mampu membelanya terutama baka luar ini yang harganya mencecah ribuan ringgit," katanya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum itu berkata, buat masa ini kedainya hanya menawarkan menu kopi dan membuka ruang kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menyediakan hidangan ringan.

Tambahnya, untuk bermain kucing, kedainya dibuka setiap hari melainkan Isnin bermula jam 11 pagi hingga 10 malam, manakala bagi yang ingin merapikan kucing dan menempatkan kucing di hotel disediakan, ia dibuka pada jam 11 pagi hingga 7 malam dan ditutup pada hari Ahad.

Dalam pada itu ditanya berkenaan minatnya terhadap kucing, Muhammad Shafiq berkata, dia bukan sahaja berminat kepada haiwan manja berkenaan, tetapi juga haiwan reptilia.

Dua pengunjung kedai Kopi dan Kucing seronok bermain dengan kucing.
Dua pengunjung kedai Kopi dan Kucing seronok bermain dengan kucing.

"Saya bermula dengan menjual reptilia secara dalam talian antaranya ular, biawak dan tarantula sebelum beralih sepenuhnya kepada kucing kerana tak ramai orang suka dengan reptilia.

"Jadi saya dan isteri bermula dengan membiak pelbagai jenis baka kucing bermula tahun 2019 sehingga pernah kami mempunyai lebih 100 ekor kucing," katanya.

Jelasnya, kesemua kucing tersebut kemudian dijual dan paling mahal pernah dibeli pelanggan ialah kucing baka British Short Hair berusia enam bulan berharga RM8,500.

Melihat potensi perniagaan melibatkan kucing telah menyebabkan bapa kepada seorang anak itu nekad berhenti kerja makan gaji selain merealisasikan minatnya bergelumang dengan haiwan.

Dua pelanggan minum kopi sambil ditemani kucing.
Dua pelanggan minum kopi sambil ditemani kucing.

"Walaupun bisnes ini tak menjadikan saya kaya, tapi saya puas dengan apa yang saya buat sekarang.

"Setiap bulan sekurang-kurangnya kami terima 50 ekor kucing untuk didandan manakala permintaan hotel pula tinggi apabila cuti perayaan,"katanya.

Ujarnya, bagi hotel kucing, terdapat 54 bilik disediakan dengan harga rahmah iaitu serendah RM25 sehari termasuk makan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!