Tiada kejadian tidak diingini dilaporkan dalam banjir di Subang Parade
KUALA LUMPUR - Syarikat pengurusan bangunan Subang Parade di Subang Jaya, Hektar Property Services Sdn Bhd mengesahkan tiada kecederaan dan insiden tidak diingini dilaporkan berlaku dalam banjir kilat yang melanda tingkat bawah tanah pusat beli-belah itu, dekat sini pada Ahad.
Dalam satu kenyataan malam tadi, syarikat itu berkata, ia sedang aktif menangani keadaan itu dan memastikan keselamatan pembeli dan pengunjung bangunan berkenaan.
"Kami memahami kesulitan yang mungkin timbul akibat banjir dan kami memohon maaf jika ada sebarang gangguan. Kami sedang berusaha untuk memulihkan keadaan di Subang Parade kembali kepada seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.39 malam tadi sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berserta sebuah jentera "Fire Rescue Tender”(FRT) dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi kami mendapati berlaku banjir di bahagian tingkat bawah tanah setinggi satu kaki (30 sentimeter) dan trend air telah mula surut. Banjir turut melibatkan sebuah kedai elektrik yang berada di bahagian tingkat bawah tanah, namun tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!