Bantahan Dong Zong tindakan tidak sopan: KGMMB
TEMERLOH - Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menganggap bantahan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berkaitan pengenalan pembelajaran jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) satu usaha yang tidak wajar dilakukan oleh persatuan tersebut.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, bantahan itu menunjukkan tindakan tidak sopan persatuan tersebut dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Menurutnya, acapkali Dong Zong melakukan bantahan dalam sistem pendidikan negara termasuk Penyata Razak 1950, Akta Pendidikan 1961, Laporan Abdul Rahman Talib dan Laporan Pendidikan Kabinet 1979.
“Selain itu, Dong Zong turut membantah program membaca, menulis dan mengira, perhimpunan sekolah dalam bahasa kebangsaan serta program sekolah integrasi pada tahun 1980-an serta menuntut pengiktirafan ijazah dari Taiwan dan China.
“Sewajarnya pihak Dong Zong mematuhi sistem pendidikan kebangsaan dan perlu taat kepada raja dan negara serta menjunjung Perlembagaan negara ini,” katanya.
Tambahnya, Dong Zong juga mendesak Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) turut diterima oleh kerajaan sedangkan sijil itu tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan yang perlu dipatuhi serta tidak adil kepada anak Cina yang belajar di sekolah menengah kebangsaan (SMK).
Mengulas pembelajaran jawi di SJK, Jasni memberitahu ia sudah dinyatakan dalam Dokumen Standard Kurikulum Sekolah Rendah iaitu mengenali tulisan jawi pada objek persekitaran yang terdapat dalam kehidupan harian.
"Ia hanya sebahagian kecil yang dikecohkan oleh Dong Zong," katanya.
Jasni menambah, aspek seni bahasa dilaksanakan untuk menyokong kemahiran bahasa dan tidak ditaksir serta pelaksanaan tulisan jawi di SJK dilaksanakan secara pilihan dengan persetujuan daripada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid.
“Diharap Dong Zong mematuhi arahan yang ditetapkan dan jangan menjadi badan yang mencetuskan kekeliruan dan kekacauan masyarakat berbilang kaum di negara ini yang sudah merdeka lebih 60 tahun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!