Pemindahan Gaza digantung sementara selepas ambulans jadi sasaran
GAZA - Pemindahan rakyat Gaza yang cedera bersama pemegang pasport asing melalui lintasan Rafah ke Mesir telah digantung sejak Sabtu.
Pemindahan dihentikan selepas serangan Zionis Israel ke atas ambulans di Gaza yang digunakan untuk membawa mereka yang cedera, sehari sebelum itu.
Lintasan Rafah ke Semenanjung Sinai Mesir adalah satu-satunya pintu keluar dari Gaza yang tidak dikawal oleh Israel dan trak bantuan masih boleh masuk ke wilayah itu.
Menurut sumber pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), proses membawa mangsa cedera keluar dari Gaza dijangka diteruskan semula melalui pintu sempadan tersebut.
Pemindahan bermula pada Rabu lalu, di bawah perjanjian antarabangsa yang bertujuan untuk membenarkan beberapa pemegang pasport asing dan beberapa warga Gaza yang cedera keluar dari kawasan itu.
Tidak seperti hari sebelumnya, pihak berkuasa sempadan Gaza pada Ahad tidak menerbitkan senarai pemegang pasport asing dan tanggungan yang diluluskan.
Beratus-ratus orang telah dipindahkan dalam penyelarasan dengan negara asal mereka, bersama-sama dengan berpuluh-puluh rakyat Gaza cedera yang menerima bantuan perubatan di hospital di Sinai.
Seorang pegawai Mesir memberitahu, bahagian sempadan Mesir dibuka seperti biasa untuk mana-mana mangsa yang dipindahkan, tetapi lintasan digantung kerana pengeboman di Gaza.
Qatar yang telah memainkan peranan utama dalam memudahkan bantuan kemanusiaan dan pembebasan tebusan berkata, ia juga mendesak untuk meneruskan lintasan tetapi tiada garis masa ditetapkan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!