Kes penipuan pelaburan i-Serve, dua lagi ditahan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lagi individu berhubung kes penipuan pelaburan i-Serve pada awal pagi Isnin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sekitar jam 3 pagi, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).
Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan i-Serve melibatkan seorang individu bergelar 'Datuk' yang mempunyai saham dalam sebuah syarikat penerbangan tambang murah bermasalah.
Menurutnya, dalam penahanan suspek pada pagi ini (Isnin), polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping pasport.
"Hasil soal siasat awal mendapati, suspek telah mula berkenalan dan berkawan dengan individu bergelar Datuk itu sekitar tahun 1995.
"Malah suspek juga mengaku bersama Datuk itu menubuhkan syarikat i-Serve Payment Gateway Sdn Bhd sekitar tahun 2019," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu, Ramli berkata, suspek juga mengaku berperanan sebagai pengarah di beberapa buah syarikat seperti Beauty Treasure Sdn Bhd, I-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd serta I-Serve Travel and Tours Sdn Bhd.
Beliau berkata, ekoran penahanan terbabit, pihak polis kemudiannya menyerbu sebuah kondominium di Sentul, dekat sini jam 4.15 pagi Isnin.
Dalam serbuan kedua itu, katanya, seorang wanita berusia 57 tahun ditahan berhubung kes sama.
Menurutnya, pihak polis telah merampas sebuah kereta Mercedes bersama kunci, sebuah telefon bimbit dan sekeping pasport dalam serbuan tersebut.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati wanita tersebut merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat insurans.
Bagaimanapun katanya, wanita tersebut tidak mengakui penglibatannya dalam kes penipuan pelaburan i-Serve.
"Kedua-dua suspek telah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta Kuala Lumpur pada pagi ini bagi permohonan reman," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!