Maritim tahan dua kapal disyaki pindah minyak diesel tanpa kebenaran

Anggota penguatkuasa Maritim Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas kru kapal.
Anggota penguatkuasa Maritim Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas kru kapal.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua kapal yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa kebenaran di perairan Kapar dekat sini pada Ahad.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, berdasarkan maklumat hasil risikan yang diterima, dua buah kapal itu ditahan pada kedudukan kira-kira 0.7 batu nautika Barat Daya Kapar pada jam 12.15 tengah malam.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, sebuah kapal membawa enam kru warga Indonesia berusia 29 hingga 35 tahun didapati sedang memindahkan diesel lebih kurang 400,000 liter ke sebuah kapal lain.

"Kapal itu pula membawa sembilan kru warga Indonesia, satu kru warga Myanmar dan dua kru warga tempatan berusia 20 hingga 35 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Sharenliza berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal mengemukakan apa-apa dokumen kebenaran melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal (STS).

"Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B iaitu melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000," katanya.

Beliau berkata, empat kru dari dua buah kapal yang berdaftar di Malaysia itu telah ditahan dan dibawa ke Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.

"Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan supaya komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang yang digariskan pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat salah laku dan kecemasan di laut sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam untuk maklum balas segera," katanya.