Dewan Rakyat zahir takziah atas kematian Natrah
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Isnin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail yang meninggal dunia Khamis lalu.
Ucapan itu dizahirkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, mewakili semua ahli Parlimen dan petugas institusi tersebut.
“Dengan perasaan dukacita dan sedih saya ingin maklumkan bahawa Puan Natrah telah kembali ke rahmatullah pada Khamis. Saya bagi pihak ahli Parlimen dan pengurusan keseluruhannya ingin merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah.
“Saya mengharapkan seluruh keluarga Allahyarhamah terus tabah dalam menghadapi situasi ini. Semoga ALLAH SWT cucuri rahmat ke atas roh beliau,” katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Natrah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggal dunia pada usia 73 tahun akibat kanser di Hospital Segamat, Johor.
Allahyarhamah menjadi Ahli Parlimen Sekijang sejak 2018 hingga 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!