Jangan bodoh-bodohkan cikgu yang pandaikan anak kita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEKEJAP sahaja masa berlalu, pejam celik dah nak sampai hujung tahun dan sekejap lagi berakhirlah tahun 2019.

Bermakna dah nak tamat jugalah musim cuti sekolah anak-anak kita. Puas bercuti?

Kalau ditanya soalan itu kepada anak-anak, sampai bila-bila pun mereka akan kata tak puas.

Mereka tidak tahu ada ibu bapa yang sudah tak sabar-sabar nak tunggu sekolah dibuka semula.

Ada ibu bapa yang dalam diam sudah mula rasa tidak tenteram melayan kerenah anak-anak di rumah.

Bercerita tentang sekolah, Merak Jalanan teringat tentang posting salah seorang cikgu yang meluahkan perasan kecewa dan terkilan dengan sikap ibu bapa sekarang.

Katanya, ramai ibu bapa zaman sekarang meletakkan taraf guru paling bawah dan dengan mudah memanggil cikgu dengan perkataan bodoh.

Merak Jalanan yakin apa yang diluahkan itu bukan direka-reka tetapi realiti yang sering mereka hadapi.

Artikel Berkaitan:

Kita pun tahu pada zaman teknologi ini dengan mudahnya kata-kata kurang manis disampaikan tanpa perlu bersemuka.

Itu memang realiti. Merak Jalanan juga ada anak yang masih di sekolah rendah dan berada dalam grup WhatsApp guru kelas.

Tidak dinafikan, bermacam-macam kerenah ibu bapa yang cikgu terpaksa hadap.

Cikgu dengan setia dan sabarnya menjawab pertanyaan walaupun adakalanya dihujani soalan tidak logik dan berulang-ulang.

Ada yang tak segan-silu minta tolong ‘tengok-tengokkan’ anak mereka, ada yang mempersoalkan kenapa begitu kenapa begini.

Cikgu itu tetap membalas molek setiap pesan ibu bapa. Tidak pernah jemu memesan apa yang perlu dibawa dan dipakai anak-anak murid.

Hairan kenapa masih ada yang celupar dan sanggup membodohkan cikgu yang sentiasa bersedia memandaikan anak-anak.

Bukan mudah hendak melayan kerenah 40 anak murid berlainan mak pak dalam satu masa.

Sudah-sudahlah bersikap pentingkan diri sendiri dan anggap kita sahaja yang betul. Pada tahun 2020 berubahlah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!