Zionis Israel dakwa telah kepung Gaza

Tentera Israel berterusan membedil ke arah Palestin dan kini zionis itu mendakwa sudah mengepung kota Gaza. - Foto: AFP
Tentera Israel berterusan membedil ke arah Palestin dan kini zionis itu mendakwa sudah mengepung kota Gaza. - Foto: AFP
A
A
A

GAZA - Tentera Israel mendakwa telah mengepung kota Gaza dan membahagikan jalur pantai yang dikepung kepada dua.

Gaza mengalami gangguan komunikasi ketiganya sejak permulaan perang 7 Oktober lalu.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari berkata, ketika ini terdapat bahagian utara dan selatan Gaza.

Justeru, katanya, ia merupakan 'peringkat penting' dalam perang Israel terhadap Hamas.

Media Israel melaporkan, tentera rejim Zionis itu dijangka memasuki kota Gaza dalam tempoh 48 jam.

Letupan kuat dilihat di utara Gaza selepas waktu malam, pada Isnin.

Kelumpuhan rangkaian di seluruh Gaza dilaporkan oleh kumpulan advokasi akses internet NetBlocks.org dan disahkan oleh syarikat telekomunikasi Palestin Paltel.

Ini menjadikan lebih sukar dan rumit untuk menyampaikan butiran mengenai peringkat baharu serangan rejim Zionis.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Juliette Touma berkata, pihaknya telah kehilangan komunikasi dengan sebahagian besar ahli pasukan UNRWA.

Gangguan rangkaian telekomunikasi pertama di Gaza berlarutan selama 36 jam dan yang kedua selama beberapa jam.

Pengeboman Israel berterusan

Sebelum itu, pada Ahad, pesawat pejuang Israel menyerang dua kem pelarian Gaza tengah, membunuh sekurang-kurangnya 53 orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang awam, kata pegawai kesihatan.

Israel berkata, pihaknya akan meneruskan serangan terhadap pasukan pejuang Hamas, walaupun Amerika Syarikat (AS) merayu supaya berhenti seketika untuk mendapatkan bantuan kepada orang awam.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, lebih 9,700 rakyat Palestin telah terbunuh di wilayah itu dalam hampir sebulan perang dengan hampir 5,000 daripadanya adalah kanak-kanak.

Jumlah itu mungkin akan meningkat apabila Zionis Israel mara ke kawasan kejiranan bandar yang padat.

Serangan udara melanda kem pelarian Maghazi membunuh sekurang-kurangnya 40 orang dan mencederakan 34 yang lain.

Kem itu berada di zon di mana tentera Israel telah menggesa orang awam Palestin untuk mencari perlindungan.

Tiada komen segera daripada tentera Israel.

Satu lagi serangan udara melanda sebuah rumah berhampiran sekolah di kem pelarian Bureji di tengah Gaza.

Kakitangan di Hospital Al-Aqsa berkata, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.

Walaupun rayuan dan demonstrasi di luar negara, Israel meneruskan pengebomannya di seluruh Gaza.

Pengkritik berkata, serangan Israel adalah tidak seimbang, memandangkan jumlah besar orang awam terbunuh. - Awani/Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!