Banjir Selangor: 603 mangsa ditempatkan di sembilan PPS
SHAH ALAM - Seramai 603 orang mangsa terdiri daripada 162 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) susulan bencana banjir di beberapa daerah di Selangor.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, satu PPS iaitu Dewan Seroja Kampung Bendahara, Gombak menempatkan lima mangsa daripada tiga keluarga masih dibuka sehingga jam 8 pagi, Isnin.
“Seramai 15 mangsa terdiri daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Taman Desa Hulu Yam Bharu, Hulu Selangor.
“Di Hulu Langat pula, seramai 96 mangsa terdiri daripada 23 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bangi dan Sekolah Kebangsaan Semenyih," katanya.
Menurut kenyataan itu, seramai 477 mangsa terdiri daripada 133 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Kampung Datuk Ahmad Razali, Kampung Jenderam Hilir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil di Sepang.
"Hanya satu PPS sahaja dibuka di daerah Petaling yang menempatkan 10 mangsa terdiri daripada tiga keluarga di Dewan Serbaguna Camelia Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Putra Height," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!