KPKM pantau lapan komoditi makanan utama
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memantau status bekalan lapan komoditi makanan utama agar dapat meningkatkan keterjaminan dan mengurangkan kebergantungan import makanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, antara bahan makanan itu ialah beras, sayur, buah, daging lembu, daging ayam atau itik, telur ayam atau itik, susu segar dan ikan makanan.
Menurutnya, dalam usaha menambah baik kadar sara diri (SSR) dan meningkatkan keterjaminan makanan, KPKM akan memfokuskan kepada empat komoditi tanaman dan ternakan.
“Pertamanya padi dengan mempertingkatkan produktiviti padi menerusi inisiatif SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) menerusi Model Mini Sekinchan dan projek rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.
“Matlamat pelaksanaan program SMART SBB adalah untuk mencapai SSR beras negara kepada 75 peratus menjelang tahun 2025 dan 80 peratus pada tahun 2030,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta KPKM untuk menyatakan jenis tanaman serta ternakan yang sedang diberi tumpuan bagi menambah baik tahap sara diri (SSL).
Mengulas lanjut, Foong Hin memberitahu, KPKM turut fokus kepada ternakan ruminan dalam penghasilan daging dan susu.
Tambahnya, ia dilaksanakan dengan meningkatkan jumlah bilangan ternakan ruminan bagi penghasilan daging lembu atau kerbau ke tahap SSR 50 peratus (111,000 tan) dan 30 peratus (14,200 tan) bagi daging kambing atau bebiri.
Jelas beliau, pelaksanaan itu akan dilakukan dalam tempoh lima tahun melalui Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara 2021-2025 (BIF Plan).
Foong Hin berkata lagi, Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusi Negara (Dairy Plan) 2021-2025 turut dilancarkan dengan sasaran penambahan 20 juta liter susu segara ke arah mencapai SSR 100 peratus menjelang 2025.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sayur-sayuran dan buah-buahan mencatatkan SSR yang rendah serta kadar import tinggi.
“KPK akan meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran seperti halia, kubis dan cili serta buah-buahan seperti kelapa.
“Dasar Agromakanan Negara 2.0, KPKM menyasarkan SSR buah-buahan dan sayur-sayuran masing-masing sebanyak 83 peratus dan 79 pertus menjelang 2030,” ujarnya
Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya turut memfokuskan kepada perikanan dan akuakultur.
“KPKM akan memperkasakan pengeluaran ikan makanan melalui akuakultur yang menyasarkan pengeluaran akuakultur berbanding perikanan tangkapan pada nisbah 60:40,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!