Pencipta rekod MBOR kini hilang upaya, derita sakit buah pinggang
JOHOR BAHRU - L Rajagopal Kawander yang pernah mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) memandu secara undur sejauh 88 kilometer (km) dan 1,010km di Johor serta Pulau Pinang, kini berdepan kehidupan sukar selepas jatuh sakit.
Isterinya, K Malliga, 67, berkata, Rajagopal, 69, kini sudah hilang upaya, daya penglihatan dan menderita sakit buah pinggang selain perlu menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Kota Tinggi (HKT) tiga kali seminggu.
Dia yang memandu secara mengundur sejauh 88km dari Jalan Ungku Puan di Johor Bahru ke Pantai Desaru, Kota Tinggi di sini pada 2008 dan 1,010km dari Bandar Raya Johor Bahru ke Jalan Perai Jaya 2, Penang pada 2010 juga hilang punca pendapatan.
"Sejak enam tahun lalu, kami ditimpa pelbagai ujian hingga kami tiada sumber pendapatan. Sebelum ini, suami saya yang bekerja sebagai bekas juru ukur syarikat swasta memang aktif sebagai penceramah di sekolah dan bergelar sukarelawan.
"Suami pernah mengalami luka dan bengkak kaki akibat diabetes. Namun dia kehilangan daya penglihatan secara berperingkat-peringkat sehingga doktor mengesahkannya hilang penglihatan kekal dan menyatakan tiada rawatan sesuai," katanya.
Dia berkata demikian ketika pemberita selepas menerima sumbangan ikan sempena Deepavali daripada GM Seafood di rumahnya di Taman Mount Austin di sini pada Isnin.
Malliga yang berasal dari Masai di sini berkata, dia dan suami kini bergantung sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800 sebulan.
Menurutnya, pada setiap bulan, dia juga terpaksa membelanjakan RM500 bagi menampung tambang kereta sewa dari kediamannya ke HKT.
Suri rumah itu berkata, dia memiliki tiga cahaya mata semuanya berusia dalam lingkungan 30-an, namun mereka juga bukan orang senang selain sudah berumah tangga dan memiliki tanggungan sendiri.
"Sambutan Deepavali kami yang suram sejak enam tahun lalu, namun kami tetap bersyukur dengan apa yang ada. Saya masih tidak melakukan sebarang persiapan sempena Deepavali dan merancang untuk menyambut secara sederhana," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar GM Seafood, Dr Gary Ko berkata, pihaknya menyampaikan 75 kilogram ikan kepada 15 keluarga berpendapatan rendah yang bakal meraikan Deepavali.
"Sumbangan kami tidak seberapa namun kami berharap ia mampu meringankan beban penerima," katanya.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan yang bekerja sebagai pekerja bahagian pembersihan, Asin Pandian, 60, bersyukur dengan sumbangan disampaikan itu.
"Sebagai ibu tunggal yang memiliki seorang cahaya mata orang kurang upaya (OKU), kami hanya menyambut Deepavali secara sederhana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!