Banduan mahu jadi imam keluarga
MACHANG - "Perkara pertama saya akan lakukan ialah jadi imam kepada keluarga, itu hasrat hati saya sejak belajar jadi imam di dalam penjara," kata seorang banduan yang kenali sebagai Jo ketika ditanya perkara utama dilakukannya apabila keluar dari penjara hari ini.
Jo merupakan antara tiga banduan yang dibenarkan pulang seminggu melalui Pelepasan Banduan Secara Berlesen yang dilaksanakan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang di sini.
Walaupun baki hukuman yang perlu dijalani hanya tujuh bulan sahaja lagi, namun dia tetap teruja untuk bertemu keluarga kali ini walaupun untuk tempoh seminggu sahaja.
"Saya teringin nak makan KFC dengan keluarga. Insya-ALLAH seminggu yang diberikan ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk bersama keluarga dan rehat di rumah.
"Nanti bila sudah keluar (tamat hukuman) saya bercadang untuk buka kedai makan. Insya-ALLAH semoga semuanya dimakbul ALLAH," katanya yang menjalani hukuman di bawah Seksyen 396 atas kesalahan merogol.
Sementara itu, seorang lagi banduan juga berkongsi mahu meluangkan masa dengan empat anak-anaknya yang kini dijaga keluarga di Gua Musang.
"Saya teruja untuk jumpa anak-anak dan keluarga. Memang keluarga saya selalu datang jenguk di penjara namun perasaan tidak sama bila kita pulang ke rumah dan makan bersama.
"Saya bersyukur diberikan lesen untuk keluar sekejap, bolehlah saya hilangkan rindu pada keluarga dan sanak-saudara. Nasihat saya kepada mereka yang terjebak dengan dadah hanya satu, lupakan saja, kerana keseronokannya hanya sementara, tapi kedukaannya berpanjangan.
"Alhamdulillah, sejak berada di dalam (penjara) saya banyak mendalami ilmu agama yang menjadi asas kepada kita semua, Insya-ALLAH ia boleh menjadi panduan kepada saya untuk mendidik anak-anak selepas ini," kata Abe Mey yang telah empat kali khatam al-Quran sejak mula berada di penjara 2014 lalu.
Terdahulu, Jo, Abe Mey dan seorang lagi banduan iaitu diberikan taklimat khusus oleh Pengarah Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Penolong Kanan Komisioner, Mohd Shukri Harun mengenai syarat yang perlu dipatuhi sepanjang seminggu dibenarkan keluar dari pusat tersebut.
Mohd Shukri dalam sidang media yang sama memberitahu, ketiga-tiga banduan itu masih menjalani hukuman di Machang namun mereka terpilih untuk diberikan kebebasan berlesen mengikut kriteria yang telah ditetapkan.
"Pada asalnya 12 orang yang kita calonkan, namun hanya 3 yang layak dan diberikan lesen pelepasan kali ini. Mereka dipilih mengikut syarat, kriteria dan disiplin sepanjang mereka berada di pusat pemulihan.
"Ini merupakan pertama kali dilakukan di penjara ini dan kami harap dengan adanya inisiatif ini, mereka (banduan) akan insaf dan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk bersama keluarga.
"Saya juga mohon jaga baik keluarga untuk ambil dan pulangkan kembali mereka sebagaimana ditetapkan iaitu pada 30 Disember ini bermula jam 2 hingga 4 petang. Jangan lupa bawa lesen pelepasan ke mana sahaja mereka pergi," katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya melalui Pegawai Parol daerah akan sentiasa memantau keadaan semasa banduan tersebut selain bersedia menjadi rujukan jika mereka atau keluarga mereka memerlukan bantuan atau khidmat nasihat selama seminggu dibebaskan itu.
Shukri juga memberitahu, pertambahan hukuman selama dua tahun juga akan dikenakan kepada mana-mana antara mereka yang bertindak melanggar perintah atau syarat pelepasan yang telah ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!