Ulsan jangka terima tentangan sengit JDT
KEMENANGAN 3-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pusingan pertama Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL), 24 Oktober lalu, tidak boleh dijadikan ukuran kerana Ulsan Hyundai akan berdepan tentangan sengit daripada skuad Harimau Selatan itu pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Menurut pengendalinya, Hong Myung Bo, skuad Harimau Selatan itu pastinya akan bangkit dan mempamerkan aksi terbaik bagi memerangkap skuad The Tigers di hadapan penyokong sendiri.
“Kita tak boleh jadikan kemenangan lalu sebagai ukuran kerana saya percaya JDT akan bangkit memberikan tentangan pada perlawanan kali ini.
“Apatah lagi kali ini mereka akan beraksi di gelanggang sendiri, di hadapan penyokong sendiri dan mereka ada segala kelebihan.
“Oleh itu, saya mahu semua berhati-hati dan tidak mudah ‘terjerat’ dengan corak taktikal lawan kelak,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Mengulas mengenai tindakannya tidak menurunkan tiga tonggak utama Ulsan Hyundai, termasuk kapten Jung Seung Hyun, Darijan Bojanic dan peledak berbisa Gustav Ludwigson, pada aksi Liga Korea berdepan Daegu 29, 29 Oktober lalu, tidak ada kaitan dengan aksi berdepan JDT.
Katanya, tindakan itu dibuat bertujuan untuk merehatkan ketiga-tiga pemain berkenaan selain memberikan peluang kepada pemain-pemain lain untuk beraksi.
“Tak ada kena-mengena langsung pemain-pemain ini direhatkan semata-mata untuk menentang JDT, kita dah ada perancangan untuk ACL.
“Kita cuma merehatkan ketiga-tiga pemain itu berdasarkan prestasi ketika latihan; lagi pun saya sudah merangka perancangan untuk ACL,” katanya.
Sementara itu, penyerang Ulsan Hyundai, Kim Ji-hyun menegaskan dia tidak mengalami tekanan untuk berdepan JDT dan hanya berlatih seperti biasa dan akan beraksi mengikut perancangan taktikal daripada ketua jurulatih.
"Mungkin ada yang kata akan akan beraksi dalam tekanan, tapi saya memang tidak tertekan langsung.
“Bagi saya semua pemain sudah biasa untuk berdepan tekanan dan kami tetap hormati JDT namun dalam pada masa yang sama kami mahukan kemenangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!