'Mohon maaf kerana tidak dapat menjaga anak ini'

Bayi yang ditemui cukup sifat di bahagian tempat mengambil wuduk dan nota yang ditemui bersama bayi yang ditinggalkan di sebuah masjid di Taman Seri Gaya, Jalan Maktab Gaya, Luyang Kota Kinabalu.
Bayi yang ditemui cukup sifat di bahagian tempat mengambil wuduk dan nota yang ditemui bersama bayi yang ditinggalkan di sebuah masjid di Taman Seri Gaya, Jalan Maktab Gaya, Luyang Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Perasaan tidak sedap hati seorang imam selepas terdengar bunyi tangisan bayi membawa kepada penemuan seorang bayi yang ditinggalkan di bahagian tempat mengambil wuduk di sebuah masjid di Taman Seri Gaya, Jalan Maktab Gaya, Luyang pada malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, bayi perempuan cukup sifat ditemukan di dalam kotak bersama satu nota yang menyatakan individu terbabit terpaksa berbuat demikian kerana faktor tidak mampu untuk menjaganya.

Menurut Adzwan Erman, 28, ketika kejadian dia baharu sahaja sampai di kediamannya yang terletak di dalam kawasan masjid berkenaan.

Menurut Adzwan, dia terdengar seperti suara tangisan bayi, namun tidak mengendahkannya kerana menganggap ia adalah bayi dari kawasan kejiranan.

"Saya bersama isteri dan anak segera masuk ke dalam rumah dan kemudian saya keluar semula untuk mengambil barang di dalam kereta di mana ketika itu masih terdengar bunyi tangisan bayi.

"Saya masih tidak hiraukan bunyi tangisan itu dan segera mengangkat barang dari dalam kereta. Kali ketiga ketika mahu kunci kereta, saya mulai rasa tidak sedap hati dan cuba mendengar dengan teliti bunyi tangisan tersebut.

"Saya terkejut kerana bunyi tangisan itu bukan berada di rumah jiran sebaliknya berdekatan dengan masjid," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mencerita lanjut, Adzwan berkata, dia segera memeriksa kawasan masjid dan menemui satu kotak di lantai bahagian tempat mengambil wuduk.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan keadaan gelap, saya tidak perasan rupanya kotak itu berada berhampiran kaki saya. Saya lihat terdapat seorang bayi menangis dan saya terus mengangkatnya sebelum bayi itu terdiam.

"Saya panik seketika sebelum bertindak menghubungi jemaah masjid bagi memaklumkan penemuan bayi itu," katanya.

Tambah Adzwan lagi, hasil daripada penelitian pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid terdapat kelibat dipercayai seorang wanita berjubah meletakkan bayi itu di kawasan terbabit.

"Bayi itu diletakkan di situ sekitar jam 7.30 malam dan terdapat kelibat seorang wanita memakai jubah. Selain itu terdapat satu nota mengenai bayi itu termasuk tarikh dia dilahirkan iaitu pada 31 Oktober lalu dan jika dilihat keadaan bayi itu seperti belum mandi sebaik dilahirkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan nota itu juga, individu yang meninggalkan bayi tersebut memohon maaf kerana tidak dapat menjaga bayinya atas faktor ketidakmampuan.

"Dalam nota itu, individu tersebut meminta supaya bayi dihantar ke rumah anak yatim," katanya dalam kenyataan.

Mohd Zaidi berkata, susulan kejadian itu pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendedahkan dan membuang kanak-kanak berusia kurang daripada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya.

"Sekiranya disabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Hatikah Ahmad di talian 016-8337246," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!