Lebih 100 serangan udara Israel di Gaza City dalam tempoh sejam

Suar dijatuhkan oleh tentera Israel di atas kawasan Palestin di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan pergerakan Hamas Palestin. Foto AFP
Suar dijatuhkan oleh tentera Israel di atas kawasan Palestin di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan pergerakan Hamas Palestin. Foto AFP
A
A
A

GAZA CITY - Tentera Israel melancarkan lebih 100 serangan udara ke atas Gaza City dalam tempoh kurang sejam pada Ahad, membunuh dan mencederakan ramai penduduk Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Serangan ganas itu menyasarkan pelbagai kawasan di bandar itu, serentak dengan gangguan komunikasi dan internet.

Pengeboman itu turut memusnahkan sebuah blok kediaman di kem pelarian Al-Shati menyebabkan ramai penduduk terbunuh.

Serangan yang menyasarkan kawasan di barat laut, tengah dan barat daya Gaza City itu tidak pernah berlaku sebelum ini sejak konflik terbaru tercetus.

Ambulans juga tidak dapat memasuki kawasan yang diserang.

Serangan bom itu menyasarkan kawasan berdekatan dengan Kompleks Perubatan Al-Shifa, hospital terbesar di Semenanjung Gaza, serta kawasan kediaman, jalan raya, kawasan pelabuhan bandar dan pelbagai kawasan dari barat laut hingga barat daya Gaza.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Palestin serta Syarikat Telekomunikasi Palestin, Paltel dilaporkan berkata, Israel memutuskan semua jenis perkhidmatan komunikasi dari Semenanjung Gaza, kejadian ketiga dalam tempoh kira-kira 10 hari. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!