Rompak warga asing, remaja dihantar ke Henry Gurney

Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Muhamad Imran Yahya (kanan) dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Melaka. Foto Bernama
Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Muhamad Imran Yahya (kanan) dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Melaka. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Melaka, selepas mengaku bersalah merompak seorang wanita warga asing, bulan lepas.

Hakim Mazdi Abdul Hamid memerintahkan Muhamad Imran Yahya, 19, dihantar ke institusi itu selama tiga tahun atau hingga mencapai umur 21 tahun, selepas mengambil kira faktor umur tertuduh yang masih muda, tidak mempunyai sabitan lalu dan hukuman yang berbentuk pengajaran bagi membawanya kembali ke pangkal jalan.

Remaja itu didakwa merompak seorang wanita warga asing dengan mengambil satu unit telefon bimbit, beg galas, cermin mata, serangkai kunci dan sekeping kad British Columbia Services Card, di tepi sebuah kedai makan di Lebuh Campbell dekat sini pada 5.20 petang, 28 Oktober lepas.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan.

Dalam rayuannya, Muhamad Imran yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah meringankan hukumannya dengan alasan dia tidak bekerja dan cuma mendapat pendidikan hingga darjah enam, selain ibu bapanya juga tidak bekerja dan kini ditanggung abang sulungnya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keang.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Muhamad Imran mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merompak serta merompak sehingga menyebabkan kecederaan.

Remaja itu didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik seorang wanita tempatan iaitu beg tangan, kad pengenalan, lesen memandu, wang tunai RM400 dan telefon bimbit, di belakang lorong premis Lebuh Campbell dekat sini kira-kira 6 petang pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Imran juga didakwa melakukan rompakan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas wanita warga asing, dengan menarik beg tangan sehingga jatuh di Batu Ferringhi kira-kira 7 pagi pada 3 Okt lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun selain denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah menetapkan 4 Disember ini bagi sebutan semula kes, selain membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM12,000 untuk kedua-dua pertuduhan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!