BEST-BYOB 2024 diperluas kepada pelajar universiti
PROGRAM keusahawanan B40 Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (BEST-BYOB) 2024 anjuran RHB Islamic Bank Berhad dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) kini diperluas kepada pelajar universiti.
Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali berkata, program itu adalah sebagai salah satu usaha pihaknya untuk memberi pendedahan kepada pelajar untuk mencerkan diri dalam bidang keusahawanan selepas tamat pengajian nanti.
Menurutnya, program yang sudah dimulakan sejak setahun yang lalu mempunyai potensi besar dalam melahirkan usahawan baharu khususnya dari golongan asnaf dan B40.
“Kami mempunyai kerjasama dengan 20 universiti tempatan yang mempunyai kelab usahawan memerlukan bantuan francais.
“Jadi kami bersama rakan strategik Pernas akan membantu memberi pendedahan dan khidmat nasihat agar bidang keusahawanan akan menjadi pilihan kerjaya utama pelajar berkenaan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program BEST-BYOB 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais Pernas, Mazlan Ibrahim.
Sementara itu, Mazlan berkata, BEST-BYOB 2024 ialah sebuah program keusahawanan yang komprehensif dan kompetitif yang merangkumi aspek latihan perniagaan yang berstruktur, peluang “business matching” atau padanan perniagaan, bimbingan serta pemberian modal perniagaan.
"BEST-BYOB 2024 yang ditambah baik dengan penyediaan dana modal perniagaan berjumlah RM1 juta untuk memperkasakan sehingga 100 individu dari kalangan asnaf dan B40 bagi membantu meningkatkan keupayaan kewangan mereka dengan menjadi usahawan perniagaan prafrancais,” katanya.
Dalam pada itu Ewon berkata, program berkenaan selari dengan misi KUSKOP untuk menyediakan platform, perkhidmatan sokongan, bantuan, dan pembangunan kapasiti keusahawanan.
“Peserta program BEST-BYOB 2024 yang layak akan dipadankan dengan jenama prafrancais di bawah inisiatif BIT oleh Pernas, seperti Mekeria, Monti Keopi, Kuhot dan Goreng Pisang Crispy.
“Pernas juga akan membantu pemilik jenama prafrancais BIT serta para peserta dari kalangan asnaf dan B40 untuk memanfaatkan Pakej RHB e-Penyelesaian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) oleh RHB Islamic yang menawarkan kemudahan fasiliti perbankan internet dan akaun perniagaan yang komprehensif," jelasnya.
Tambahnya, program itu turut sejajar dengan ekosistem RHB Harmoni dan mencerminkan komitmen dalam melaksanakan prinsip kewangan sosial Islam.
“Ia juga merupakan manifestasi sokongan kami terhadap agenda Bank Negara Malaysia di bawah Teras Strategik 2 Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026, iaitu penekanan terhadap peningkatan kesejahteraan kewangan untuk isi rumah dan perniagaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!