Syarat baharu bakal bebankan kelab Liga Super?

Mohd Yusoff (tengah) ketika Akhbar selepas Mesyuarat Kesembilan Jawatankuasa Eksekutif FAM Bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM Kelana Jaya pada Isnin.
Mohd Yusoff (tengah) ketika Akhbar selepas Mesyuarat Kesembilan Jawatankuasa Eksekutif FAM Bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM Kelana Jaya pada Isnin.
A
A
A

KELAB dalam saingan Liga Super mungkin terpaksa bekerja keras mencari dana yang lebih banyak apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan setiap kelab menghantar pasukan untuk Piala Presiden dan Piala Belia bermula musim depan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kegagalan menyediakan pasukan untuk saingan tersebut akan menyaksikan kelab tidak diberikan lesen kebangsaan dan tidak boleh bermain dalam saingan Liga Super.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan program pembangunan tidak diketepikan dalam usaha melahirkan pemain pelapis pada masa akan datang.

"Memang kita tidak nafikan (kemungkinan kelab terbeban). Tetapi, kita harapkan semua pasukan ini mencari penyelesaian kerana kita tidak boleh mengenepikan program pembangunan pemain.

"Perkara ini perlu dan setiap pasukan perlu ada pembangunan kalau tak macam mana kita nak lahirkan pemain? Mereka kena bahagikan sedikit bajet untuk program pembangunan," katanya dalam Sidang Akhbar selepas Mesyuarat Kesembilan Jawatankuasa Eksekutif FAM Bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM Kelana Jaya, pada Isnin.

Syarat terbaharu itu juga dijangka bakal memberikan kesukaran kerana beberapa kelab dalam saingan Liga Super ketika ini juga sedang berdepan dengan masalah kewangan dan tunggakan gaji.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell berkata, badan induk bola sepak itu menyedari implikasi kewangan yang sedang dihadapi pasukan ketika ini dan memberikan cadangan tidak perlu untuk mempunyai pemain yang ramai dalam pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

"Kelab tidak perlu ada pemain yang ramai dalam pasukan. Tinjauan saya mendapati ada pasukan yang mempunyai hampir 30 pemain untuk skuad bawah 18 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Saya faham ada kelab yang sedang bergelut dan mereka perlu menguruskan pemain dan staf dengan baik.

"Bagi saya, ia lebih kepada untuk menguruskan bajet mereka kerana ini sebahagian daripada pelesenan kelab," katanya.

Pertandingan Piala Presiden 2024 dijadualkan bermula pada Februari hingga Ogos 2024 manakala Piala Belia 2024 akan dimulakan pada April hingga September disebabkan bertembung dengan kalendar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!