Speaker mahu dedah nama ahli Parlimen 'kaki ponteng' jadi topik panas
CADANGAN untuk memaparkan nama ahli-ahli Parlimen yang 'ponteng' persidangan Dewan Rakyat terus panas apabila mendapat reaksi berbeza wakil rakyat.
Meskipun ia dilihat munasabah kerana bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sebenar yang digalas mereka dan bukan sekadar untuk makan gaji buta, terdapat ahli parlimen yang tidak bersetuju dengan usaha dilakukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee ketika perbahasan Belanjawan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, membantah cadangan untuk memaparkan nama wakil rakyat terbabit di laman web Dewan Rakyat.
Beliau yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, cadangan tersebut merupakan satu tindakan yang memalukan dan tidak munasabah kerana akan menyebabkan imej dan reputasi ahli Parlimen buruk pada mata rakyat.
Katanya, isu kehadiran perlu dibuat dan dibincangkan secara terperinci dan tidak boleh dilaksana secara bersendirian oleh Speaker.
“Isu kehadiran ini berlaku sejak saya masuk Parlimen 23 tahun dahulu tetapi ia tidak diperbesarkan kerana tiada menteri yang boleh hadir persidangan setiap masa.
“Mereka ada tugasan di luar sana. Mahu lihat kesemua 222 ahli dewan? Ini tidak akan berlaku,” katanya.
Perdebatan mengenai isu kehadiran wakil rakyat ini dijangka terus memanaskan sesi Dewan Rakyat minggu ini.
Satu penyelesaian tuntas perlu dikemukakan sekiranya cadangan itu benar-benar mahu dilaksanakan demi memartabatkan institusi parlimen itu sendiri.
Justeru, Speaker Dewan Rakyat perlu menerangkan mekanisme serta standard piawaian yang akan diguna pakai dalam menentu ukur status kehadiran ahli-ahli Parlimen dalam setiap persidangan.
Sebarang langkah penambahbaikan diharap dapat meningkatkan kehadiran mereka dalam Dewan Rakyat bagi mengelakkan pandangan dan perspektif negatif daripada rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!