Belajarlah simpan duit biarpun sedikit

Pakar kewangan menyarankan setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya tiga bulan gaji sebagai tabung kecemasan jika kehilangan kerja. - Gambar hiasan 123rf
Pakar kewangan menyarankan setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya tiga bulan gaji sebagai tabung kecemasan jika kehilangan kerja. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

HASIL kajian Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang mendapati hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan bukan sesuatu mengejutkan.

Bunyinya mungkin remeh tetapi itulah realiti sebenar dihadapi rata-rata rakyat Malaysia ketika ini, tambahan pula kos sara hidup yang semakin meningkat.

Isu simpanan kecemasan juga menjadi topik perbincangan ramai pihak terutama pakar-pakar kewangan tempatan dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya menyimpan wang atau menabung.

Menurut Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, sebilangan besar rakyat di negara ini masih bersikap ‘jangka pendek’ dalam pengurusan kewangan.

Ramai bersikap kurang endah dalam menguruskan risiko kewangan masing-masing termasuk dalam menghadapi situasi luar jangka.

Sikap kurang endah ini perlu dilihat secara lebih serius kerana jika tiada usaha mengubahnya akan menyebabkan ramai rakyat Malaysia hidup dalam tekanan apabila berlaku situasi kecemasan yang memerlukan sejumlah wang.

Kesedaran merupakan asas utama yang perlu ada dalam diri masing-masing sekiranya mahu keluar dari kelompok tidak mempunyai simpanan kecemasan sebagai bekalan masa depan.

Aspek pengetahuan dan pendedahan secara berterusan mengenai kepentingan menabung perlu diberi penekanan di peringkat kanak-kanak lagi.



Bagi memupuk amalan itu, peranan ibu bapa sangat ditagih bukan sahaja dengan memberi pendidikan semata-mata tetapi turut memberi contoh terbaik.

Artikel Berkaitan:

Selain menyemai sifat berjimat-cermat, amalan sihat itu juga berupaya memupuk nilai disiplin diri yang tinggi, di samping sentiasa bersedia sedia dengan apa sahaja kemungkinan.

Jika diimbau kembali, pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada awal tahun 2020 juga banyak memberi pengajaran bahawa pentingnya mempunyai simpanan mencukupi.

Ketika berdepan tempoh sukar itu, bukan sahaja individu, malah syarikat-syarikat mempunyai nama besar juga terkesan dan ada yang ‘tersungkur’ kerana tidak mempunyai wang simpanan sebagai back up.

Pakar kewangan sebelum ini juga menyarankan setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya tiga bulan gaji sebagai tabung kecemasan jika kehilangan kerja.

Ia membolehkan mereka meneruskan kehidupan harian sebelum mendapat punca pendapatan baharu.

Meskipun begitu, dua aspek utama iaitu faktor gaji serta amalan berbelanja juga perlu menjadi perkiraan dalam menilai isu ini.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ditambah tangga gaji yang masih rendah juga mendorong kegagalan untuk menyimpan.

Hakikatnya, gaji yang diterima saban bulan hanya cukup untuk menampung keperluan, di samping melunaskan komitmen seperti bayaran ansuran rumah dan kereta.

Justeru, pelaksanaan dasar Gaji Progresif yang dimasukkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) merupakan antara perkara yang dinanti-nantikan pekerja tanpa mengira sektor.

Dasar Gaji Progresif merupakan anjakan bagi mereformasikan pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan gaji pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.

Ini kerana, beberapa inisiatif berkait gaji termasuk Perintah Gaji Minimum (PGM) dan Sistem Upah yang dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS) bagi meningkatkan gaji pekerja belum mencukupi dalam mengatasi isu tahap gaji yang masih rendah.

Oleh itu, menjadi harapan tinggi seluruh pekerja tanpa mengira sektor untuk melihat kebajikan dan hak mereka dipenuhi melalui bayaran gaji yang selari dengan tenaga yang dicurahkan.

Namun, tidak dapat dinafikan ada sesetengahnya gagal menyimpan meskipun mempunyai lebihan wang kerana boros berbelanja hingga melebihi kemampuan.

Inilah antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian semua pihak iaitu berbelanja mengikut kemampuan, bukannya mengikut selera diri.

Formulanya, menabunglah meskipun dengan jumlah yang sedikit dan mengikut kemampuan masing-masing. Apa pun cabaran yang dihadapi, tetapkan di dalam hati masing-masing untuk menyimpan walaupun hanya dengan RM1.

Seperti mana peribahasa Melayu ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’. Sekurang-kurangnya hasil simpanan itu nanti menjadi bekalan sekiranya berdepan kecemasan luar jangka.

* Nurul Huda Hussain ialah Wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!