Jangan biarkan anak terdedah gangguan mental

Gangguan mental bagi kanak-kanak boleh digambarkan sebagai perubahan serius dalam cara belajar, berkelakuan atau mengendalikan emosi yang menyebabkan kesukaran dan masalah menjalani kehidupan seharian. - Gambar hiasan 123rf
Gangguan mental bagi kanak-kanak boleh digambarkan sebagai perubahan serius dalam cara belajar, berkelakuan atau mengendalikan emosi yang menyebabkan kesukaran dan masalah menjalani kehidupan seharian. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

ISU kesihatan mental tidak hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa, malah turut dihadapi kanak-kanak. Realiti sebenar, gangguan mental tidak mengenal usia, di mana sahaja dan sesiapa pun boleh menjadi pesakitnya.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), seramai 424,000 orang kanak-kanak di Malaysia mengalami isu kesihatan mental sepanjang tahun lepas dan trend ini semakin meningkat pasca Covid-19.

Angka ini bukan kecil, sebaliknya memerlukan penyelesaian tuntas kerana kanak-kanak merupakan tonggak negara pada masa akan datang.

Mungkin ada ibu bapa tidak sedar perubahan tingkah laku anak-anak dan merasakan ia perkara biasa dalam perkembangan tumbesaran.

Sebenarnya gangguan mental bagi kanak-kanak boleh digambarkan sebagai perubahan serius dalam cara belajar, berkelakuan atau mengendalikan emosi yang menyebabkan kesukaran dan masalah menjalani kehidupan seharian.

Antara gangguan mental yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak ialah kegelisahan (anxiety), kemurungan, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Obsessive-Compulsive Disorder (OCD) dan Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini memaklumkan, antara faktor menyebabkan kanak-kanak berdepan isu kesihatan mental adalah berpunca daripada kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa atau penjaga.

Masalah tersebut berlaku khususnya kanak-kanak dalam keluarga B40 apabila ibu bapa mereka terpaksa keluar bekerja dan ditinggalkan di rumah.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan perkembangan itu, KKM mengambil pendekatan turun padang dan memberikan pendedahan mengenai kesihatan mental agar masyarakat mengambil perhatian.

Dalam perkara ini, peranan ibu bapa pada peringkat awal terutama di rumah sangat penting terutama untuk menyediakan persekitaran penuh kasih sayang dan membesarkan anak-anak dengan selamat.

Sebagai penjaga, mereka pihak pertama dapat mengenal pasti perubahan drastik yang berlaku terhadap anak-anak dan boleh mengambil tindakan pantas.

Ibu bapa juga perlu menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak kerana jika wujud jurang, mereka tidak akan berkongsi atau bercerita sebarang masalah dihadapi, sebaliknya hanya memendam rasa sendirian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!