Peraih emas kini 'kehilangan' pelanggan
KOTA BHARU - Peraih emas di kaki lima sekitar bangunan di bandar, di sini berdepan kekurangan pelanggan yang datang menjual barangan kemas kepada mereka walaupun menawarkan harga setinggi RM270 segram.
Keadaan itu dipercayai kerana orang ramai berdepan kos sara hidup yang tinggi dan sudah kehabisan simpanan emas atau hanya mahu menyimpan emas masing-masing.
Seorang peraih atau pembeli emas terpakai yang mahu dikenali sebagai Laila, 55, memberitahu sukar mendapatkan pelanggan walaupun seharian menunggu dan duduk di kerusi di kaki lima bangunan.
Katanya, keadaan itu berpanjangan antara empat hingga lima hari, malah mereka pernah tidak mempunyai pelanggan langsung.
“Saya akan datang seawal 9 pagi untuk mencari rezeki sebelum pulang pada 5 petang setiap hari, tetapi itu pun payah nak dapatkan walau seorang saja pelanggan.
“Berbeza dulu, kami boleh dapat 10 pelanggan atau lebih pada setiap hari kerana orang Kelantan memang terkenal memiliki banyak barang kemas,” katanya ketika ditemui di Buluh Kubu, di sini pada Isnin.
Sementara itu, seorang lagi peraih dikenali sebagai Aida, 58, berkata, keadaan orang ramai yang dipercayai sudah kekurangan simpanan emas itu sehingga ada antara mereka datang menggadaikan suasa kerana hanya barangan berharga tersebut yang masih ada.
Katanya, mereka turut membeli suasa kerana dalam barangan itu turut mengandungi sekitar 35 peratus emas.
“Saya membeli emas terpakai dan surat pajak bermula tahun 1990 dan memiliki pelanggan dari serata tempat terutama Kota Bharu tetapi tidak pernah jumpa orang jual suasa.
“Sekarang lain, dah ada ramai yang berbuat demikian kerana memerlukan wang bahkan cincin kahwin atau subang sebelah pun dijual,” katanya.
Menurut Aida, keadaan di kawasan kaki lima tempat menunggu pelanggan juga semakin lenggang dan hanya dilalui orang ramai untuk tujuan lain.
“Setiap orang yang lalu lalang di sini, kami akan menyapa dengan mesra dan bertanyakan adakah mereka mahu menjual emas atau tidak.
“Malangnya, semua hanya menggeleng-geleng kepala,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!