Gulzoda raih johan PABM 2023 ke-15
GEORGE TOWN - Minat mendalam dan usaha selama dua tahun untuk menguasai bahasa Melayu telah membuahkan hasil buat seorang pelajar dari Uzbekistan, Gulzoda Utkurova apabila beliau berjaya meraih johan dalam Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2023 kali ke-15.
Gulzoda, 19, yang merupakan pelajar dari Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS) dalam bidang Filiologi itu berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan sijil bagi Kategori Antarabangsa.
Ketika ditemui selepas pertandingan itu yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sabtu lalu, beliau menzahirkan penghargaan terhadap gurunya yang banyak membantu mencapai kejayaan tersebut.
"Saya minat dengan bahasa Melayu kerana ia unik selain senang untuk dipelajari. Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan ini. Selain guru-guru, saya juga belajar melalui dalam talian seperti YouTube,” katanya.
Menyampaikan pidato bertajuk Bahasa Menjulang Bangsa, Gulzoda menyatakan penyertaannya dalam PABM 2023 adalah kali pertama.
“Kemenangan ini merupakan peniup semangat untuk saya terus berusaha mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mendalam,” jelas beliau yang turut berkebolehan berbahasa Rusia dan Cina.
Sementara itu, rakan senegaranya, Sarvinoz Akramova Abdulvohid Qizi berjaya memperoleh naib johan manakala pelajar dari Beijing Foreign Studies University (BFSU) China, Sun Zichang memperoleh tempat ketiga.
Bagi Kategori Pelajar Antarabanga di Malaysia, peserta dari Timor-Leste, Carla Goncalves de Oliveira Sarmento berjaya menjadi Johan dengan membawa pidato bertajuk Pesan Pusaka Hikayat Nusantara.
Carla yang sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kimia di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menewaskan pelajar Sudan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Abuelgasim Saadeldin Mansour Mohamed selaku naib johan manakala tempat ketiga bagi kategori itu dimenangi pelajar Bangladesh dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Faizal Muhammad.
“Saya gembira dapat berkongsi pengalaman di negara asal saya, Timor-Leste dengan semua rakan di Malaysia pada malam ini menggunakan bahasa Melayu yang indah,” jelas Carla.
Bagi Kategori Alam Melayu pula, pelajar Malaysia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah diangkat sebagai johan.
Muhammad Mukhlisul dari Melaka yang menyampaikan pidatonya bertajuk Evolusi dan Rekayasa Bahasa Membina Ketamadunan Bangsa menewaskan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari Tawau, Ivanatasha Abdul Majid (naib johan) dan pelajar dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei, Abdul Mujib Awang Sh'minan yang mendapat tempat ketiga.
Mukhlisul berusia 22 tahun dan merupakan pelajar bidang undang-undang berkata, dengan kemenangannya itu, dia berjaya menyampaikan mesej mengenai kepentingan bahasa Melayu, sama seperti bahasa lain yang telah dimodenkan.
"Bahasa Melayu adalah bahasa yang indah dan kita perlu memelihara dan mempromosikannya. Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan usaha saya selama ini berbaloi," katanya.
PABM 2023 kali ke-15 menyaksikan johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta piala pusingan dan piala iringan manakala naib johan pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM8,000 dan tempat ketiga adalah RM5,000.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap menyempurnakan pertandingan itu memaklumkan, PABM merupakan program utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengangkat bahasa Melayu serta mempromosi pengajian yang berkaitan dengannya di seluruh dunia.
"Khazanah dan warisan bahasa Melayu sangat besar dan hebat. Namun, kita tidak mahu berhenti setakat itu sahaja, tetapi mahu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa yang ulung, bahasa ilmu serta bahasa yang menjadi perantara dalam membicarakan idea-idea besar dan mengujakan,” katanya.
Tambah Mohamed Khaled, KPT sentiasa mengambil beberapa langkah serius untuk terus menjadikan bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada agenda penting pendidikan tinggi negara.
Sementara itu, Pengarah Program PABM, Syamil Shazwan berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan sekali gus memperkenalkan unsur kebudayaan dan tamadun dalam bahasa Melayu kepada masyarakat dunia.
Katanya, peningkatan penyertaan dalam pertandingan pidato bahasa Melayu itu menunjukkan bahawa bahasa kita telah lama merentasi jajaran global.
"Malam kemuncak PABM 2023 ini adalah gambaran nyata dari ketekunan dan tekad yang tidak goyah kami dalam pelaksanaan agenda ini. Hasilnya, mahasiswa mahasiswi yang sungguh berdaya tahan telah dilahirkan pada masa ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!