MPK sita kerusi, meja di lot parkir
KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan tiga kompaun terhadap peniaga yang meletakkan kerusi dan meja di kawasan parkir awam pada luar waktu ditetapkan di Ambang Botanik di sini.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam satu kenyataan memaklumkan satu notis di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 19 turut dikeluarkan dalam operasi berkenaan pada Isnin.
"Premis masih lagi belum memohon permit kerusi dan meja serta masih lagi meletakkan kerusi dan meja serta khemah di petak meletakkan kenderaan terutama di luar waktu yang dibenarkan.
"Waktu dibenarkan bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam untuk permit kerusi dan meja sahaja dan khemah tidak dibenarkan," menurut MPK dalam kenyataan di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, menurut MPK, anggota penguat kuasa PBT itu turut menyita 50 meja plastik, 120 kerusi plastik dan 15 unit lampu kalimantan serta dua buah khemah.
"Semasa pemeriksaan terdapat wakil premis dan inventori bernombor 137746 telah diserahkan kepada wakil tersebut.
"Wakil premis juga telah diarahkan untuk mengosongkan tempat meletakkan kenderaan dan tidak meninggalkan barang di tempat letak kenderaan selepas waktu perniagaan serta memohon permit kerusi dan meja," menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!