Musim tengkujuh diramal bermula Sabtu ini hingga Mac tahun depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor serta barat Sarawak semasa fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh bermula Sabtu ini dan berterusan sehingga Mac 2024.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain sekiranya luruan monsun tersebut kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah.

“Sekiranya berterusan dan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar serta luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

“Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut serta ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Muhammad Helmi, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac 2024 dijangkakan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan.

“Keadaan cuaca panas dan kering berpotensi berlakunya gelombang haba berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula diramal sehingga suku pertama tahun 2024,” ujarnya.

Tambah Muhammad Helmi, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!