Curi cip kasino: 10 suspek ditahan, lima lagi diburu
KUANTAN - Polis Pahang menahan 10 suspek kes kecurian cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta di sebuah bilik kasino di Genting Highlands, 28 Oktober lalu.
Kesemua lelaki termasuk seorang warga asing berusia 30 hingga 59 tahun itu ditahan di sekitar Genting Highlands, Raub, Ampang dan Nilai antara 29 Oktober hingga 1 November lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, susulan penahanan suspek itu, pihaknya telah berjaya menemui dan merampas 428 keping cip bernilai lebih RM2.9 juta.
Menurutnya, sebanyak 149 keping cip dirampas daripada suspek, manakala 279 keping cip yang telah ditunaikan diperoleh semula daripada pihak kasino dan baki 732 cip lagi sedang dikesan.
"Susulan penahanan suspek itu, polis turut merampas wang tunai RM16,438 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
"Dalam kes ini, pihak polis telah mengenal pasti lima lagi suspek termasuk suspek utama yang masih bebas," katanya dalam sidang akhbar sempena perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, usaha mengesan dan menangkap suspek giat dijalankan.
"Suspek yang masih dikesan dikenali, Lee Kien Keong, 44, Sam Ting Gai, 42, Ho Kian Lim, 46, Ho Kian Yew, 51 dan Chun Chee Lui, 39," katanya.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian daripada pihak pengurusan keselamatan kasino itu pada 28 Oktober lalu.
"Dalam kejadian itu, bilik kasino khas (vip) telah dipecah masuk dan 1,160 keping cip kasino bernilai RM 4.6 juta yang berada dalam bilik berkenaan telah hilang disyaki dicuri.
"Kejadian itu disedari jam 10 pagi pada 28 Oktober lalu selepas pihak pengurusan kasino membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Berdasarkan rakaman CCTV berkenaan mendapati pada jam 7 pagi hari yang sama, dua lelaki masuk ke dalam bangunan yang menempatkan beberapa bilik kasino khas melalui laluan kecemasan bangunan sebelum mengumpil pintu belakang yang digunakan sebagai laluan kecemasan," katanya.
Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!