PN Melaka persoal ADUN bukan Islam dibenar cadang AJK masjid, surau

Dr Mohd Yadzil
Dr Mohd Yadzil
A
A
A

MELAKA - Perikatan Nasional (PN) Melaka mempersoalkan tindakan membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Islam mencadangkan senarai jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini.

Pengerusinya, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, syarat yang ditetapkan melalui surat dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu disifatkan sebagai campur tangan politik.

Malah lebih mendukacitakan katanya, ia merupakan cubaan membenarkan orang bukan Islam campur tangan dalam urusan agama Islam.

"Mengapa dalam urusan pentadbiran rumah ALLAH, mereka yang bukan Islam dilibatkan?

"Pernahkah kita dengar orang Islam dirujuk terlebih dahulu dalam penentuan jawatankuasa rumah ibadah agama lain?

"Kenapa bila berkaitan masjid dan surau kita izinkan agama lain mengatur apa yang eksklusif kepada umat Islam?" katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

MAIM melalui pekeliling bertarikh 25 Oktober lalu memaklumkan ADUN kawasan bukan Islam boleh mencadangkan senarai jawatankuasa kariah masjid dan surau dengan sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) beragama Islam.

Ketetapan itu telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 11 Oktober bagi urusan pelantikan baharu jawatankuasa masjid dan surau sesi 2024-2026.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahman Mariman yang dihubungi berkata, pihaknya menafikan campur tangan orang bukan Islam dalam urusan umat Islam.

Rahmad
Rahmad

Menurutnya, terdapat kekeliruan dalam memahami kaedah pelaksanaan pelantikan jawatankuasa masjid dan surau itu.

Ujar beliau, pihaknya akan membuat siaran lebih jelas supaya urusan pelantikan itu tidak dijadikan polemik dan mainan politik.

"Urusan umat Islam adalah hak orang Islam, bukan Islam tidak boleh masuk campur urusan Islam.

"Begitu juga kami tak ikut campur urusan agama lain dan saya juga Islam tak benarkan sama sekali perkara ini berlaku," ujarnya tegas.