Kerajaan tiada peruntukan baharu bagi kerja publisiti sepanjang 2023

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan bagi kerja-kerja promosi dan publisiti hebahan pada tahun depan tidak melebihi RM100 juta setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mengambil kira komitmen dalam mengurangkan perbelanjaan komunikasi, kerajaan juga tidak akan menyediakan sebarang peruntukan baharu bagi pelaksanaan kerja-kerja promosi dan publisiti sepanjang 2023.

Ujar beliau, ia tidak melebihi daripada apa yang dibelanjakan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini yang telah mencecah RM700 juta bagi tujuan pengiklanan sejak tahun 2020 hingga tahun lalu.

“Ini bermakna hampir lebih RM500 juta dibelanjakan semasa Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), dan selebihnya oleh Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tetapi Bera tidak belanja setinggi itu kerana ada lebihan.

“Sebab itu pada tahun 2023, saya tidak ada apa-apa peruntukan selain meneruskan kontrak yang dibuat semasa Bera.

“Jadi (perbelanjaan) RM700 juta atau lebih kurang pada peringkat awal RM300 juta (untuk) satu tahun, itu bagi saya melanggar peraturan tatakelola dan keterlaluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Prabakaran M Parameswaran (PH-Batu) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Prabakaran meminta penjelasan berhubung jumlah keseluruhan yang dibelanjakan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa sepanjang tahun sejak tahun 2020 hingga kini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!