Polis terima 35 laporan berkait video kesilapan ucapan MB Pahang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 35 laporan polis diterima di seluruh negeri Pahang berhubung kes penghinaan dan mengaibkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ia ekoran penularan video kesilapan ucapan Wan Rosdy pada Perhimpunan Solidariti Palestin Pahang di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan di sini, 28 Oktober lalu.

Menurutnya, kes itu disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pegawai penyiasat telah memohon bantuan analisis daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Pihak polis masih dalam tindakan pengumpulan data daripada pihak SKMM bagi melengkapkan siasatan," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini.

Sementara itu Yahaya berkata, kertas siasatan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan berbaur hasutan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai telah dilengkapkan.

Menurutnya, kertas siasatan telah dimajukan kepada pihak Pejabat Pendakwaan Negeri Pahang 10 Oktober lalu untuk tindakan lanjut

Artikel Berkaitan:

"Kes itu disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahanan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," jelasnya.

Dalam kes berasingan, Yahaya berkata, siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd Halim berkaitan penularan video ungkapan perkataan beliau menyatakan DAP akan menjadikan negara ini sebagai negara sekular juga telah lengkap.

Beliau berkata, kertas siasatan yang dibuka bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu telah dirujuk ke Bukit Aman pada 13 Oktober lalu untuk kajian dan penelitian sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!