Remaja 17 tahun main untuk Brazil
KEJUTAN skuad Brazil apabila memanggil pemain muda meningkat naik berusia 17 tahun, Endrick untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia menentang Colombia dan Argentina bulan ini.
Penyertaan kali pertama pemain Palmeiras itu dilihat sebagai pengganti Neymar buat skuad bimbingan Fernando Diniz tersebut.
“Panggilan ini bukan tekanan, ia hadiah dan demi masa depan pemain muda ini.
“Dia pemain yang sangat berbakat besar,” kata Diniz ketika mengumumkan skuadnya dalam sidang media awal pagi Selasa.
Endrick yang bakal menyertai Real Madrid apabila berusia 18 tahun pada Julai 2024 akan menjadi pemain termuda menyarung jersi Selecao sejak Ronaldo pada 1994.
Dia dilamar Real Madrid dengan yuran perpindahan 72 juta euro (RM348.82 juta).
Endrick juga masih segar dengan dua jaringan ketika membantu Palmeiras bangkit daripada ketinggalan mengalahkan Botafogo 4-3 minggu lalu.
Brazil akan menentang Colombia di tempat lawan pada 16 November dan musuh tradisi yang juga juara bertahan, Argentina di Stadium Maracana, Rio de Janeiro pada 21 November.
Selain Endrick turut membuat debut dalam skuad senior ialah penyerang Brighton Joao Pedro, 22, Paulinho, 23, (Atletico Mineiro) dan Pepe, 26, (Porto).
Bagaimanapun penyerang Tottenham Hotspur, Richarlison yang beraksi di Piala Dunia 2022 terkeluar daripada senarai.
Neymar pula terpaksa diketepikan beberapa bulan akibat kecederaan lutut pada 17 Oktober ketika Brazil tewas 0-2 kepada Uruguay.
Brazil juga bakal beraksi tanpa kapten yang juga pemain tengah Manchester United Casemiro akibat kecederaan hamstring.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!