Tiada tambahan peruntukan ADUN pembangkang Pulau Pinang

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pulau Pinang akan menerima jumlah peruntukan tahunan yang sama iaitu RM60,000 daripada kerajaan negeri pada tahun hadapan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang tidak berhasrat untuk menambah jumlah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dalam Bajet 2024 yang dijangka dibentangkan pertengahan bulan ini.

"Semua wakil rakyat pembangkang telah menerima peruntukan tahunan sebanyak RM60,000 dan jumlah itu akan terus diberikan kepada mereka di bawah bajet negeri pada tahun depan.

"Ini bermakna, kita akan meneruskan memberi peruntukan kepada wakil-wakil pembangkang seperti yang dilakukan sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri bercadang menaikkan jumlah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menerusi Bajet 2024 yang dijangka dibentangkan pertengahan bulan ini.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak bercadang untuk berbincang dengan ADUN Pembangkang berhubung isu pemberian peruntukan lebih seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tak cadang lebih. Itu yang kita mampu," katanya.

Anwar sebelum ini dilaporkan mengingatkan wakil rakyat pembangkang supaya berunding dengan kerajaan sekiranya mahu peruntukan disalurkan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak angkuh dan sombong, sebaliknya berbincang dengan kerajaan.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, wakil rakyat kerajaan negeri akan menerima RM500,000 setahun, seperti yang diberikan sebelum ini.

Difahamkan, wang RM500,000 yang diperuntukkan kepada ADUN kerajaan negeri setiap tahun adalah termasuk dana untuk kerja-kerja infrastruktur yang dijalankan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, peruntukan RM60,000 untuk wakil rakyat pembangkang pula adalah bagi kerja-kerja infrastruktur sahaja.