Polis Kelantan siap sedia hadapi Monsun Timur Laut
KOTA BHARU - Polis Kelantan sudah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada masa sama pihaknya turut bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan penugasan sepanjang musim tengkujuh berjalan lancar.
"Kalau kita lihat pada hari ini (Selasa) cuaca sudah mula berubah.
"Bagaimanapun kita masih belum memutuskan untuk membekukan cuti anggota. Tengok pada perkembangan terkini," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, sebarang tindakan yang akan diambil selepas ini berpandukan kepada arahan pucuk pimpinan tertinggi pasukan.
Media tempatan melaporkan MTL 2023/2024 atau musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula pada 11 November dan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam tempoh itu, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
Beliau berkata, semasa fasa awal MTL bermula bulan ini hingga Januari depan, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
"Bagaimanapun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri lain dalam negara.
"Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.
"Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem," katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!