Banjir: Sebahagian anggota polis, pegawai dibekukan cuti
SHAH ALAM - Sebahagian pegawai dan anggota polis di Selangor akan dibekukan cuti sebagai langkah persediaan bagi memastikan kawalan keselamatan dapat dilakukan jika bencana banjir berlaku sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua anggota dan pegawai di ibu pejabat polis daerah (IPD) juga diminta bersiap sedia dan turun ke lokasi banjir sekiranya berlaku bencana itu di bawah kawasan pentadbiran mereka.
"Setiap IPD ada pasukan tersendiri yang akan bertugas secara bergilir dan sepanjang tempoh ini (sepanjang MTL) mereka tidak boleh bercuti.
“Kita juga mempersiapkan aset seperti kereta, lori dan bot yang akan digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) banjir,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor.
Hussein berkata, lebih 20 anggota polis dan lebih 10 buah aset dari empat IPD, iaitu IPD Kajang, Kuala Langat, Subang dan Sepang terlibat sepanjang operasi SAR banjir.
“Buat masa ini, kejadian banjir (di seluruh Selangor) hanya di peringkat daerah, yang mana ia mampu ditangani oleh IPD berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!