Tabika Pra Tahfiz Kemas guna pakai modul TTNP

Al-Sultan Abdullah (tengah) menyaksikan pemeteraian MoA antara Kemas dan Yayasan Pahang pada Selasa. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN
Al-Sultan Abdullah (tengah) menyaksikan pemeteraian MoA antara Kemas dan Yayasan Pahang pada Selasa. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 100,000 huffaz cilik bakal dilahirkan menjelang 2026 menerusi pelaksanaan Program Tabika Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pahang, Datuk Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil berkata, program itu akan mengguna pakai modul hafazan yang digunakan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) di bawah kelolaan yayasan berkenaan.

Menurutnya, anak-anak berusia empat hingga enam tahun akan didedahkan hafazan al-Quran bagi surah Juz Amma dan surah pilihan (juzuk 30) dengan bacaan (qiraat) adab dan tadabbur.

"Pada tahun ini sebanyak 100 Tabika Pra Tahfiz dibuka dengan seramai 1,500 kanak-kanak dapat menguasai hafazan Juz Amma hujung tahun ini. Kami sasar program semasa diperluaskan ke Tabika Kemas lain dari semasa ke semasa.

Ahmad Munawar
Ahmad Munawar

"Memandangkan pelaksanaan modul ini merupakan tambah nilai kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tambahan masa sejam diperlukan bagi aktiviti hafazan berkenaan," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kemas dengan Yayasan Pahang bagi pelaksanaan program berkenaan di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas di Kampung Sri Batu pada Selasa.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ketua Pengarah Kemas, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Ahmad Munawar berkata, Yayasan Pahang berbesar hati apabila kementerian memilih untuk mengguna pakai modul TTNP untuk diperluaskan ke seluruh negara.

"Sebelum ini modul hafazan ini hanya digunakan di peringkat negeri membabitkan 21 Tadika Tahfiz di seluruh daerah.

"Apabila kementerian melihat silibus ini antara yang terbaik dalam negara, maka Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersetuju menggunakan kurikulum ini untuk diperluaskan ke semua negeri termasuk Sabah Sarawak," katanya.

Ahmad Munawar (kanan) dan Ahmad Kamal Idris (kiri) menandatangani MoA sambil disaksikan Al-Sultan Abdullah. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN
Ahmad Munawar (kanan) dan Ahmad Kamal Idris (kiri) menandatangani MoA sambil disaksikan Al-Sultan Abdullah. - Foto Sinar Harian/MOHD RAFIQ REDZUAN

Ujarnya, modul berkenaan telah dicetuskan oleh Al-Sultan Abdullah yang mahu melihat anak-anak mampu menghafal, membaca dan mengenal huruf dengan baik.

"Malah baginda telah berkenan untuk melihat sendiri pelaksanaan dan pembelajaran tadika pertama di Pulau Serai, Pahang.

"Selepas MoA ini, Yayasan Pahang berhasrat untuk meneruskan kerjasama di peringkat lebih tinggi lagi bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional hafaz al-Quran pada masa akan datang, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!