Gaza: Rakyat Malaysia seolah-olah tidak sependapat - Tun M
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan rakyat Malaysia tidak sependapat terhadap konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel.
Menurutnya, ada antara mereka percaya apa yang berlaku kini berpunca daripada perbezaan rakyat Palestin dan Yahudi sehingga menyebabkan tercetusnya perang tersebut.
Sedangkan katanya, semua rakyat Malaysia perlu menolak perbuatan merampas hak kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Seperti manusia lain yang mempunyai hak, rakyat Gaza juga berhak menikmati hak kemanusiaan. Tetapi hak mereka dirampas orang Israel.
“Apa yang berlaku kini sama seperti kejadian Holokus pada 1930 apabila orang Yahudi di Jerman dirampas hak mereka dan mengakibatkan 6 juta orang Yahudi terbunuh. Dunia bersimpati terhadap Yahudi Jerman dengan sebahagian daripada penolakan Nazi,” katanya menerusi satu hantaran di aplikasi X pada Selasa.
Tambah beliau, sekarang dunia menyaksikan orang Yahudi Israel pula melakukan rampasan hak ke atas rakyat Palestin.
Ujarnya, itu adalah tragedi kemanusiaan dan tindakan rejim Zionis sama seperti yang dilakukan oleh Nazi terhadap orang Yahudi kerana ia jelas tidak adil serta tidak berperikemanusiaan.
“Adalah salah apabila hanya umat Islam sahaja yang menuntut pengakhiran pembunuhan besar-besaran yang dilakukan oleh Israel.
“Seluruh rakyat Malaysia perlu merasa terganggu dan mendesak serangan Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!