P&G, Mydin lancar dana bantuan banjir Bersama Demi Semua
SUBANG JAYA - Syarikat barangan pengguna terkemuka, Procter & Gamble (P&G) dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) melancarkan kempen dana bantuan banjir di Mydin Subang Jaya di sini pada Selasa.
Kempen bermula November hingga 6 Januari depan dengan tema 'Bersama Demi Semua' ini bertujuan bagi mengumpul dana membantu meringankan beban komuniti bergelut dengan kesan banjir di Malaysia.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, tahun lepas telah menyaksikan negara berdepan banjir paling buruk dalam sejarah yang turut menjejaskan ribuan mangsa di seluruh negara.
Menurutnya, sebagai langkah bagi menangani situasi buruk itu, kerajaan turut memperuntukkan belanjawan yang besar bagi menyalurkan bantuan akibat banjir termasuk pengurusan bencana pada tahun hadapan.
Beliau sehubungan itu berkata, dengan menjalinkan kerjasama antara syarikat korporat, ia boleh meluaskan keberkesanan bantuan serta menjamin bantuan dapat dinikmati golongan tumpuan dengan segera dan berkesan.
"Ia juga satu penghormatan buat kami kerana dapat bersama-sama dengan syarikat berpengaruh antarabangsa seperti P&G," katanya pada majlis pelancaran Kempen Bersama Demi Semua: Tabung Bantuan Untuk Mangsa Banjir di Mydin Subang Jaya pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama itu juga berikutan kejayaan kempen OURDIN dilancarkan sebelum ini, malah Mydin bangga dan teruja dapat memberi sokongan dalam kempen dana bantuan banjir kali ini.
"Perkongsian ini bukan sahaja mencerminkan nilai teras Mydin iaitu khidmat masyarakat dan integriti tetapi juga mengukuhkan ikrar untuk kami terus menyumbang tanpa mengira batas usia dan kaum," katanya.
Disember dua tahun lalu, Mydin menerusi Mydin Prihatin melancarkan kempen OURDIN sebagai inisiatif mengumpul dana dan mengajak rakyat Malaysia untuk terus bersama-sama membantu mangsa banjir.
Sementara itu, menurut Pengurus Serantau P&G Malaysia dan Singapura, Nantha Kumaran Kalimuthu, langkah proaktif sebegini sejajar dengan misi P&G untuk meningkatkan kualiti kehidupan pengguna dan komitmen Mydin yang tidak berbelah bahagi terhadap kebajikan masyarakat.
"Di P&G, warga kerja dan semua jenama kami sangat komited dalam melakukan kebaikan setiap hari sekali gus menjadi pemangkin kepada komuniti untuk turut mengamalkan nilai memberi dan menyumbang.
"Kami menyeru pengguna untuk menyokong usaha mulia ini dan setiap pembelian melambangkan langkah ke arah mengurangkan kesusahan mereka yang memerlukan dan bersama-sama, mari kita menempa masa depan lebih cerah," ujarnya.
Bermula 1 November lalu hingga 6 Januari tahun depan, setiap pembelian produk P&G bernilai RM10 dari mana-mana pasar raya Mydin sebanyak 5 sen disumbangkan kepada tabung bermakna ini.
Ketika tempoh kempen berakhir, pasar raya Mydin akan menjadi pusat perolehan barangan keperluan yang akan diagihkan kepada mangsa banjir.
Beliau menambah, kerjasama murni bersama Mydin ini juga menjadi bukti iltizam P&G untuk turut menyumbang kepada komuniti yang memerlukan perhatian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!