Kempen boikot tidak beri kesan besar terhadap penggunaan minyak masak - MPOB

MPOB tidak melihat sebarang perubahan besar ke atas penggunaan minyak masak tempatan susulan kemerosotan jualan rangkaian restoran makanan segera akibat tindakan boikot kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Israel. - Gambar hiasan
MPOB tidak melihat sebarang perubahan besar ke atas penggunaan minyak masak tempatan susulan kemerosotan jualan rangkaian restoran makanan segera akibat tindakan boikot kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Israel. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak melihat sebarang perubahan besar ke atas penggunaan minyak masak tempatan susulan kemerosotan jualan rangkaian restoran makanan segera akibat tindakan boikot kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, permintaan terhadap minyak makan itu, termasuk minyak sawit turut membabitkan kelompok pengguna lain.

"(Tidak dinafikan) ada premis restoran itu yang mungkin mendapat kesannya. Bagaimanapun, sepertimana ketika pandemik Covid-19 yang kami jangkakan eksport minyak sawit mentah (MSM) merosot kerana orang tidak dapat keluar, eksport itu sebaliknya meningkat kerana mendapat permintaan mereka yang memilih untuk memasak dan mencuba resepi baharu di rumah masing-masing.

"Oleh itu, masih terlalu awal untuk menjangkakan sama ada tindakan boikot ini akan menjejaskan penggunaan minyak sawit (di rangkaian restoran makanan segera) serta di peringkat global,” katanya di luar acara Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2023) selama tiga hari, bermula pada Selasa.

Kempen boikot itu dilakukan oleh kalangan rakyat yang enggan membeli produk atau daripada syarikat yang didakwa ada kaitan dengan Israel susulan kekejaman rejim itu ke atas penduduk Palestin.

Baru-baru ini, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar dilaporkan berkat,a kempen boikot berkenaan memberi kesan kepada perniagaan serta pekerjanya.

Israel telah membunuh lebih daripada 10,000 orang, termasuk 4,100 kanak-kanak di Gaza sejak memulakan siri pengebomannya pada 7 Oktober lepas.

Setakat semalam, angka rasmi pihak Palestin melaporkan kekejaman Israel itu turut menyebabkan lebih 25,000 orang cedera. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!