Lebih banyak pusat dialisis PERKESO akan dibuka
IPOH - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usaha untuk membuka lebih banyak pusat dialisis di seluruh negara, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Beliau berkata, perbincangan telah dibuat dengan Kementerian Kesihatan bagi membolehkan perkara itu direalisasikan sebagai memenuhi keperluan terhadap kemudahan rawatan dialisis yang semakin meningkat.
Menurutnya, berdasarkan data diberikan, dalam tempoh setahun terdapat lebih 9,000 pesakit dikenal pasti menghidap penyakit buah pinggang dengan sebilangan besar merupakan pekerja yang mencarum PERKESO.
"Sekiranya PERKESO memiliki sendiri pusat-pusat dialisis ini, kita dapat mengurangkan kepayahan kepada pekerja-pekerja yang menghidap penyakit buah pinggang.
"Ini boleh mengurangkan liabiliti PERKESO kerana kos dapat dikurangkan dan dalam masa sama pesakit tidak perlu bergantung kepada dialisis di hospital mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis sambutan Deepavali PERKESO di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah PERKESO Perak, V Mohanadas.
Setakat ini, PERKESO mempunyai empat pusat dialisis iaitu di Klang dan Shah Alam di Selangor serta Batu Pahat dan Kluang di Johor.
Sivakumar berkata, Perak akan menjadi lokasi baharu pembukaan pusat dialisis PERKESO yang dijangka dimulakan awal tahun depan.
"Kita dalam peringkat awal untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai, mungkin pada Januari atau Februari depan pengumuman berkaitan perkara ini dibuat," katanya.
Mengulas mengenai pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO di Meru Raya di sini, Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, projek tersebut telah melepasi 35 peratus kerja-kerja pembinaan.
Katanya, dengan perkembangan positif itu, pusat rehabilitasi dengan kos RM654 juta berkenaan dapat disiapkan pada penghujung November tahun depan dan beroperasi sepenuhnya pada 2025.
"Kerja-kerja dilaksakan mengikut jadual dan kita akan pastikan semuanya dalam keadaan baik supaya siap dan beroperasi mengikut tempoh ditetapkan," katanya.
Dalam majlis itu, PERKESO membuat serahan tiga mesin hemodialisis kepada dua panel pusat dialisis iaitu Yayasan Dialisis Pendidikan Akhlak Perak dan Persatuan Meningkat Akhlak Woh Peng Cheng Seah.
Sivakumar berkata, setakat Oktober, PERKESO telah membelanjakan lebih RM46 juta untuk menyediakan 1,171 unit mesin hemodialisis sejak rawatan dialisis diperkenalkan agensi berkenaan pada 1998.
"Pembiayaan kos rawatan untuk pesakit buah pinggang ini telah mencecah lebih RM300 juta setiap tahun dan ini adalah satu jumlah yang sangat besar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!