MySinar, Inetcare sedia internet di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun
BANTING - Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) bersama Intelligence Netcare Sdn Bhd (Inetcare) menyediakan kemudahan capaian internet dan Wi-Fi secara percuma untuk tempoh dua tahun kepada perpustakaan mini di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun di Pulau Carey.
Penasihat MySinar, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, matlamat sumbangan itu bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri masyarakat Orang Asli supaya seiring dan setanding dengan taraf dan pencapaian kaum lain di negara ini.
"Kita tidak mahu Orang Asli ketinggalan jauh, mereka perlu didedahkan dengan penggunaan internet supaya tahu perkembangan teknologi dunia luar.
"Diharapkan pusat atau makmal yang disediakan ini dapat menambah ilmu dan komuniti itu tidak akan tersisih dengan pembangunan teknologi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penyediaan kemudahan capaian internet dan Wi-Fi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Inetcare, Ithnin Othman, di sini pada Selasa.
Tambah Muhammad Nasir, kontrak kemudahan capaian internet dan Wi-Fi diberikan untuk tempoh dua tahun, namun pihaknya akan memperbaharui dan menambah baik perkhidmatan tersebut dari semasa ke semasa.
Bagi Ithnin, kolaborasi pertama kali bersama MySinar bagi menyediakan kemudahan capaian internet dan Wi-Fi memberi nafas baharu kepada mereka dalam melakukan penajaan bagi perkhidmatan sosial.
"Kami amat berbesar hati diberi peluang untuk bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan berkenaan," ujarnya.
Sementara itu, menurut Pengerusi Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Azman Sap, 46, sumbangan berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli khususnya generasi muda, tidak akan ketinggalan dalam era digital.
"Bukan sahaja boleh mendapat maklumat terkini dan memperoleh ilmu pengetahuan, malah membantu terutama pelajar dalam menyiapkan tugasan sekolah.
"Ia memudahkan penduduk sini bagi menjalankan urusan dengan kerajaan termasuk perniagaan, tanpa perlu bergerak jauh. Terima kasih atas sumbangan MySinar dan Inetcare kepada komuniti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!