Datuk didakwa dalang kes tipu babit RM1 bilion

Meiklejohn (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berkaitan kes penipuan pelaburan melibatkan individu didakwa bergelar Datuk menerusi sidang akhbar di Petaling Jaya pada Selasa.
Meiklejohn (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berkaitan kes penipuan pelaburan melibatkan individu didakwa bergelar Datuk menerusi sidang akhbar di Petaling Jaya pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Beberapa individu termasuk ahli perniagaan mendakwa menjadi mangsa kepada satu sindiket penipuan pelaburan didalangi seorang lelaki bergelar Datuk sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM1 bilion sejak beberapa tahun lalu.

Dijanjikan dengan pelbagai tawaran selain komisyen yang tinggi antara faktor mereka mendakwa terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan itu.

Selain itu, lelaki terbabit turut didakwa menggunakan nama beberapa individu berpengaruh di negara ini selain mendawa mempunyai pengaruh dengan pihak berkuasa.

Ahli perniagaan dari United Kingdom dikenali Lee Roger Meiklejohn, 50, berkata, dia mengalami kerugian sebanyak 10 juta pound sterling (kira-kira RM60 juta) gara-gara menyertai pelaburan ditawarkan individu terbabit.

"Saya diperkenalkan dengan individu terbabit melalui broker, dia kemukakan kepada saya nama-nama beberapa individu terkemuka mengakibatkan saya meletakkan kepercayaan penuh kepadanya.

"Saya kemudian diminta untuk memasukkan wang ke dalam syarikat pinjaman wang kewangan miliknya dengan alasan prosedur berkenaan sudah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya menerusi satu sidang akhbar di sini pada Selasa.

Meiklejohn berkata, dia bagaimanapun mula mengesyaki sesuatu yang buruk apabila semakan dilakukan mendapati saham dalam syarikat terbabit tidak ada sebagaimana dijanjikan.

"Lelaki itu mendakwa sudah menukar pelaburan itu kepada pemilikan saham syarikat berkenaan pada 2017 bagaimanapun bila saya lakukan semakan, ia sebenarnya tidak berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Saya ambil masa sedikit untuk mendapatkan pengesahan berkaitan perkara itu, apabila saya rasakan bukti sudah cukup, saya kemudiannya buat laporan polis pada 2019," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga usahawan kosmetik, Shah Abdul Malek, 51, berkata, dia turut terperangkap dengan penipuan individu berkenaan dan mengalami kerugian lebih RM7 juta.

"Saya kenal dengan individu terbabit sejak 2007, saya juga membawa ahli keluarga serta rakan untuk turut sama melabur dalam syarikat pinjaman wang serta koperasi yang dijalankan individu terbabit.

"Bagaimanapun, dia tidak memberikan pulangan sebagaimana yang dijanjikan dan perkara ini turut sama berlaku terhadap individu lain yang melabur bersama mengakibatkan saya mengesyaki sudah tertipu dengannya," katanya.

Shah berkata, dia juga berdepan dengan bebanan hutang yang tinggi gara-gara mahukan keadilan serta wang yang dilaburkannya bersama individu lain dikembalikan.

Dalam masa sama, dia berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap individu terbabit.

"Saya harap kepada mereka yang jadi mangsa penipuan individu ini, segera buat laporan polis bagi memastikan keadilan segera diperolehi.

"Saya tahu ada di antara mangsa penipuan individu ini takut untuk tampil kerana diugut dan diberikan janji-janji manis meskipun sudah mengalami kerugian berjuta ringgit, namun cukuplah menjadi mangsanya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!