Netanyahu mahu rampas kawalan Gaza

Kawasan selatan Gaza terus dibedil rejim Zionis setelah konflik itu berlarutan selama lebih sebulan. - Foto AFP
Kawasan selatan Gaza terus dibedil rejim Zionis setelah konflik itu berlarutan selama lebih sebulan. - Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin mengumumkan rancangan jahat terbaharu rejim Zionis selepas beliau berikrar mahu merampas kawalan keselamatan di Genting Gaza setelah peperangan berakhir.

Sehingga kini pemimpin Parti Likud itu berkeras menolak pelaksanaan gencatan senjata kerana enggan memberi kemenangan kepada pejuang Hamas yang bermati-matian mempertahankan Gaza.

“Tidak akan ada gencatan senjata am di Gaza tanpa pembebasan kesemua baki tawanan.

“Kami juga akan mengawal wilayah tersebut dan tidak akan membiarkan Hamas terus memegang kuasa,” ujarnya ketika wawancara bersama ABC News.

Kenyataan itu dibuat selepas Rumah Putih mengumumkan pemimpin yang mengetuai kerajaan ekstremis tersebut berbincang tentang ‘tempoh bertenang taktikal’ ketika menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Namun, tiada kesepakatan dicapai selepas kedua-duanya langsung tidak membincangkan tentang usaha melaksanakan gencatan senjata.

Difahamkan tempoh bertenang taktikal yang menetapkan jangka waktu tertentu untuk menghentikan pertempuran pernah dilaksanakan sebelum ini.

Pada 2005, Israel mengumumkan pengunduran tentera mereka dari Genting Gaza dan setahun selepas itu Hamas menang pilihan raya, sekali gus mengambil alih pentadbiran wilayah tersebut pada 2007 yang berdepan kepungan haram hingga kini. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!