Kes i-Serve: Lima lagi laporan babitkan kerugian RM6.31 juta
KUALA LUMPUR - Lima lagi laporan baharu diterima melibatkan kerugian RM6.31 juta melibatkan penipuan pelaburan i-Serve setakat Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia menjadikan 72 laporan diterima setakat ini melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM88 juta.
"Sebelum ini polis menerima 67 laporan dibuat oleh beberapa individu yang mendakwa menjadi mangsa pelaburan ini.
"Setakat ini, sepasang suami isteri berumur 58 dan 57 tahun yang telah direman dua hari untuk membantu siasatan sebelum ini akan dibebaskan dengan jaminan polis pada petang ini (Selasa)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada 3 November lalu, PDRM mengesahkan pihaknya menerima sebanyak 67 laporan berhubung pelaburan i-Serve melibatkan kerugian jumlah kerugian keseluruhan RM81,609,900.
Sebelum ini, media melaporkan siasatan polis kini menumpukan kepada penglibatan pemegang saham perniagaan i-Serve dengan individu bergelar Datuk berhubung perniagaan rangkaian syarikat menggunakan hasil pengubahan wang haram.
Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai berkomplot dengan dalang utama dalam perniagaan i-serve serta rangkaian perniagaan dalam syarikat itu sejak 2018 disyaki hasil wang pelaburan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!