Malaysia tetapkan sasaran indikator SDG Kebangsaan - PM

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya, Malaysia menetapkan sasaran indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Kebangsaan dan memuktamadkan sembilan inisiatif bagi mempercepat pencapaian SDG di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran indikator SDG Kebangsaan dan inisiatif itu akan diterjemah dalam Pelan Hala Tuju SDG Fasa 2 yang diterbitkan pada Disember ini.

Anwar berkata, ia antara perkara yang dimuktamad dalam Mesyuarat Majlis SDG Negara bagi 2023 yang dipengerusikan oleh beliau hari ini bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) yang hanya berbaki kira-kira tujuh tahun.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut memutuskan bahawa Pusat SDG Negara (PSN) di bawah Kementerian Ekonomi bertanggungjawab meningkatkan tindakan penyelarasan SDG di peringkat kebangsaan, menambah baik pencapaian SDG negara serta meningkatkan kesedaran dalam pelaksanaan SDG dan penerimagunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"(Selain itu) menambah baik struktur tadbir urus SDG Kebangsaan selari dengan fungsi semasa kementerian-kementerian serta memperkasa peranan kementerian-kementerian di peringkat Persekutuan sebagai kementerian peneraju bagi setiap matlamat SDG,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kementerian peneraju bertanggungjawab melaksanakan gerak kerja bagi memastikan setiap sasaran SDG dapat dicapai dalam tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, sehubungan itu, semua wacana dan program anjuran kementerian serta agensi perlu dijajarkan kepada SDG.

Perdana Menteri juga berkata, secara keseluruhannya, prestasi SDG Malaysia masih mencatatkan kemajuan yang positif walaupun berdepan cabaran dan situasi semasa di peringkat global serta tempatan seperti kesan pascapandemik COVID-19, cabaran perubahan iklim dunia, krisis inflasi dan kemelut geopolitik antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Anwar memaklumkan antara pencapaian negara ialah penurunan peratusan di bawah garis kemiskinan daripada 8.4 peratus pada 2020 kepada 6.2 peratus pada 2022 iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan).

Menerusi SDG 8 (Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi), kadar pengangguran berkurangan daripada 4.6 peratus pada 2021 kepada 3.4 peratus pada Ogos 2023.

Bagi SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat) pula, penggunaan Internet individu meningkat daripada 81.2 peratus pada 2018 kepada 97.4 peratus pada 2022.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa komited untuk mencapai Agenda 2030 dan akan terus memperkukuh tindakan bagi mencapai 17 SDG.

Beliau berkata, justeru, komitmen semua termasuk Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan lain adalah penting untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara mampan menjelang 2030. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!