Bersatu gantung keahlian Ahli Parlimen Labuan selama enam tahun
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dalam parti itu bagi tempoh enam tahun berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara tersebut diputuskan hasil mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang bersidang hari ini bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan Perlembagaan oleh Ketua Bahagian Labuan dan Wilayah Persekutuan itu.
"Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga kenyataan media daripada Suhaili bertarikh 30 Oktober 2023, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada 30 Oktober lepas, Suhaili mengumumkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
Sebelum ini, Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dalam parti itu selama empat tahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!