ACL: Harimau Selatan 'baham' Ulsan Hyundai

Kesebelasan JDT yang turun menentang Ulsan Hyundai. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Kesebelasan JDT yang turun menentang Ulsan Hyundai. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) menghidupkan peluang ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila menewaskan Ulsan Hyundai 2-1, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Bermula garang sebaik wisel permulaan dalam usaha membuka jaringan, skuad Harimau Selatan itu memperoleh peluang merobek gawang pelawat seawal minit pertama, namun percubaan pemain import, Oscar Arribas berjaya dikekang pertahanan pelawat.

Skuad kendalian Esteban Solari itu sekali lagi berpeluang membuka jaringan pada minit ke-4, namun tandukan penyerang import, Bergson Da Silva, tinggi melepasi palang gol.

Minit kesembilan, sekali lagi menyaksikan JDT hampir membuka jaringan namun rembatan Fernando Forestieri sekadar terkenal tiang gol biarpun penjaga gol, Ulsan Hyundai, Jo Hyeonwoo sudah pun tertewas.

Hasil satu serangan balas, pelawat hampir menjaringkan gol apabila penyerang skuad The Tigers, Um Wonsang berjaya melepasi kawalan pertahanan dan berdepan satu sama satu dengan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Namun, penjaga gol skuad Harimau Malaya itu tenang menampan percubaan berkenaan sebelum dikeluarkan benteng pertahanan.

Ulsan Hyundai kemudiannya dilihat mula mendominasi perlawanan apabila kerap mengatur asakan-asakan berbahaya ke gawang tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

Heberty ledak gol pembukaan perlawanan. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Heberty ledak gol pembukaan perlawanan. - Foto Facebook Johor Southern Tigers

Minit ke-40, menyaksikan JDT sekali lagi berpeluang menjaringkan gol sulung perlawanan, namun percubaan Heberty Fernandes sekadar tepat ke palang gol.

Bagaimanapun, Heberty menebus peluang tersebut apabila meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-44 untuk JDT selesa memimpin perlawanan menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, JDT dilihat mula menggandakan asakan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-48, namun rembatan Heberty tepat ke tiang gol sebelum melantun keluar.

Hasil satu serangan balas, Ulsan Hyundai berjaya menjaringkan gol penamaan menerusi rembatan Ataru Esaka pada minit ke-68.

Tersentak dengan jaringan penamaan tersebut, kesebelasan JDT dilihat mula bangkit mengatur asakan ke gawang pelawat dan hampir menambah jaringan pada minit ke-70, namun rembatan Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya di tepis Hyeonwoo.

Arif Aiman sekali lagi berpeluang menjaringkan gol kedua skuad Harimau Selatan itu, namun rembatannya pada minit ke-72, tepat ke dakapan Hyeonwoo.

Pemain gantian, Akhyar Rashid kemudiannya menggamatkan stadium apabila menjaringkan gol kedua skuad Harimau Selatan itu pada minit ke-87.

Penghujung perlawanan menyaksikan Ulsan Hyundai semakin hebat mengasak ke gawang JDT bagi memburu gol penyamaan, namun skuad Harimau Selatan itu dilihat terus kental bertahan bagi memastikan keputusan kekal ke wisel penamat.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan I pada Selasa menyaksikan pendahulu, Kawasaki Frontale menewaskan BG Pathum United, 4-2 di Stadium Todoroki Athletics.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!