Ahli Parlimen Gua Musang pula isytihar sokong PM

Kenyataan media Mohd Azizi pada Selasa.
Kenyataan media Mohd Azizi pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada Selasa.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

"Setelah meneliti dan mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan rakyat, saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.

"Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, Mohd Azizi menjelaskan, beliau tidak mempunyai niat untuk keluar atau mengkhianati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya, tindakan itu dibuat demi memastikan Parlimen Gua Musang bergerak seiring dengan pemerintahan kerajaan pusat.

Mohd Azizi merupakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang ketiga mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi.

Beliau memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh Hamzah yang mewakili Barisan Nasional (BN), mendapat 21,663 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!