Penang FC 'rehatkan' Yee Fatt, Manzoor Azwira
KETUA Jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt dan Penolong Ketua Jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid direhatkan oleh pasukan itu sehingga selesai perlawanan Liga Super musim 2023.
Tindakan itu diambil selepas pasukan Harimau Kumbang gagal melangkah ke pentas akhir MFL Challenge Cup 2023 selain prestasi yang membimbangkan dalam persaingan Liga Super 2023.
Meskipun berbaki tiga lagi perlawanan Liga Super, pihak pengurusan Penang FC memutuskan semua pengendalian latihan dan penyusunan urusan perlawanan menentang Sri Pahang FC dan Terengganu FC di laman sendiri serta perlawanan terakhir menentang JDT FC akan dikendalikan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Caretaker).
"Dengan keputusan pengurusan yang diambil ini, diharapkan para peminat bola sepak di Pulau Pinang dapat turun beramai-ramai memberikan semangat dan sokongan kepada Akmal Rizal l dan para pemain kita yang akan menggalas tugas berat ini," menurut kenyataan yang dikeluarkan Penang FC pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!